BUKIT MERTAJAM – Representasi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh untuk menggugurkan pertuduhan mengeluarkan kenyataan di Facebook yang didakwa menimbulkan kegentaran serta keselamatan awam ditolak.
Peguamnya, Aizat Azam berkata, pihaknya akan mengemukakan representasi kedua kepada Peguam Negara selepas permohonan pertama yang dikemukakan pada Disember tahun lalu ditolak.
Menurut beliau, pihaknya sudah mendapat arahan daripada anak guam untuk mengemukakan representasi kedua bagi menyampaikan fakta, pandangan dan pendapat berdasarkan undang-undang berhubung kes berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan kepada Majistret Roshayati Radellah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, pada Isnin.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang diketuai Pengarah Pendakwa Negeri, Muna Mohamed Jaafar memaklumkan pihaknya tidak membantah permohonan kali kedua itu dan akan memanjangkan representasi berkenaan kepada Peguam Negara.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa semua dokumen di bawah Seksyen 51A sudah diserahkan kepada pihak peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 Januari depan sebagai tarikh sebutan kes termasuk mendapatkan keputusan rayuan representasi tersebut.
Sementara itu, di luar kamar mahkamah Aizat berkata, kes berkenaan sudah berlangsung lebih setahun, namun tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan kerana menunggu keputusan berhubung representasi.
“Kes ini telah berlangsung lebih setahun, belum ada tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan. Sebaliknya, hari ini kita masih dalam proses untuk mendapatkan keputusan representasi.
“Ini bermaksud bahawa sama ada kes ini boleh meneruskan untuk perbicaraan ataupun tidak, kita pun masih lagi menunggu keputusan daripada pihak Peguam Negara,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pihaknya memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap Peguam Negara berhubung bidang kuasa beliau dalam menjalankan pendakwaan terhadap anak guamnya.
Pengurusan kes semakan kehakiman itu dijadualkan berlangsung esok di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang secara dalam talian.
Media pada 22 Ogos 2025 melaporkan Muhamad Akmal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan di laman Facebook miliknya yang didakwa menimbulkan kegentaran serta keselamatan awam.
Muhamad Akmal, 37, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa memuat naik kenyataan di akaun Facebook “Akmal Saleh” jam 3 petang pada 11 Ogos lalu yang dilihat serta didengar seorang lelaki di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam di Precint 1 @ Sunway Wellesley di sini.
Dalam video itu, Akmal didakwa menuntut Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan ke atas individu yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik dalam tempoh dua hari dan sekiranya tiada pendakwaan beliau turun mengajar individu dirujuknya sebagai “apek” cara memasang bendera dengan betul.
Kenyataan itu boleh menimbulkan kegentaran awam serta mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.



