
KUANTAN – Bukan sekadar karnival, Mini Karnival MADANI dan Jualan Rahmah Bergerak yang berlangsung di Kampung Anak Air, dekat sini, semalam, dilihat sebagai inisiatif yang berjaya menyentuh denyut nadi komuniti setempat.
Program anjuran Penggerak Komuniti Pengguna Negeri Pahang dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu dipengerusikan diselaras oleh Baizura-Ruzaimi.
Menurutnya, penganjuran program itu bertujuan mendekatkan inisiatif kerajaan MADANI kepada rakyat akar umbi, khususnya dalam membantu meringankan beban kos sara hidup melalui jualan barangan keperluan asas pada harga Rahmah.
“Alhamdulillah, sambutan penduduk Kampung Anak Air sangat menggalakkan. Ini membuktikan bahawa pendekatan turun padang seperti ini amat diperlukan.
“Ia bukan hanya tentang jualan murah, tetapi tentang keprihatinan dan kebersamaan kita membina komuniti yang sejahtera,” katanya.
Program yang bermula seawal jam 7 pagi itu menawarkan pelbagai barangan keperluan harian seperti ayam, telur, minyak masak, beras dan barangan dapur lain pada harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran.
Selain itu, pelbagai aktiviti kemasyarakatan turut diadakan bagi memeriahkan suasana.
Majlis perasmian disempurnakan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperluaskan program Jualan Rahmah Bergerak ke segenap pelusuk negeri, termasuk kawasan kampung dan pinggir bandar.
“Inisiatif seperti ini adalah terjemahan langsung kepada hasrat Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada komuniti yang tercicir.
“Kita mahu rakyat merasai sendiri bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan bersama mereka dalam menghadapi cabaran kos sara hidup,” katanya.



