
PEKAN – Penganjuran Karnival Kerjaya Pahang1st dilihat sebagai pemangkin penting dalam usaha kerajaan negeri mencapai sasaran mewujudkan 60,000 peluang pekerjaan baharu serta melonjakkan nilai ekonomi negeri mencecah RM100 bilion menjelang 2030.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, sasaran itu digariskan menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Pahang 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan enam sektor utama berimpak tinggi.
Menurut beliau, nilai ekonomi Pahang ketika ini dianggarkan RM71 bilion dan bagi mencapai sasaran RM100 bilion, negeri memerlukan pelaburan strategik serta pelaksanaan projek berimpak tinggi yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat dan mewujudkan pekerjaan berkualiti.
“Dalam pelan ekonomi ini, kita nak wujudkan 60,000 peluang pekerjaan daripada enam sektor dan juga projek berimpak tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Kerjaya Pahang1st Siri 2 Pekan dan Perasmian Expo Konvensyen 2026 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), di sini, malam tadi.
Enam sektor tumpuan yang dikenal pasti ialah tenaga boleh baharu, bahan termaju, pertanian, pembangunan berorientasikan transit (TOD), kenderaan elektrik (EV) dan automotif serta pelancongan, selain memperkukuh industri berasaskan teknologi dan inovasi.

Mengulas lanjut, Mohamad Nizar berkata, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada pembangunan industri hiliran bagi memastikan sumber mineral tempatan diproses dan diberi nilai tambah di dalam negeri, sekali gus menarik pelaburan bernilai tinggi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Dalam masa sama, kerajaan negeri menyasarkan peningkatan purata gaji pekerja daripada RM2,300 kepada RM3,300, selain memperluas pembangunan industri baharu termasuk syarikat pemula, industri halal dan sektor aeroangkasa.
Sementara itu, beliau menyifatkan penganjuran Karnival Kerjaya Pahang1st sebagai inisiatif strategik untuk mewujudkan pasaran pekerjaan yang lebih efisien di Pahang.
“Kalau boleh kita nak ada pasaran pekerjaan di negeri Pahang yang efisien, maksudnya majikan mudah cari pekerja dan pekerja mudah cari majikan,” katanya.
Karnival edisi Pekan itu menyaksikan penyertaan 13 syarikat yang menawarkan sebanyak 250 peluang pekerjaan kepada pencari kerja, khususnya golongan muda dan anak tempatan.
Menurut Mohamad Nizar, program seumpama itu perlu diteruskan bagi memudahkan akses kepada peluang pekerjaan, memenuhi keperluan tenaga kerja industri serta menggalakkan anak muda membina kerjaya di negeri sendiri tanpa perlu berhijrah ke negeri lain atau ke luar negara.



