ATLET negara yang menerima ugutan berunsur ancaman keselamatan di media sosial digesa membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan segera.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, langkah itu penting supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku.
“Bila ada ugutan membabitkan keselamatan diri, nyawa atau persatuan, saya nasihatkan mereka buat laporan supaya MCMC dan polis boleh jalankan siasatan,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan segelintir warganet melemparkan cemuhan dan ugutan terhadap pemain badminton negara di media sosial susulan prestasi hambar mereka.
Pada masa sama, Hannah turut menasihatkan atlet mengurangkan masa di media sosial bagi mengelakkan emosi dan prestasi mereka terjejas, terutama menjelang perlawanan penting.
“Saya nasihatkan mereka kurangkan masa di media sosial supaya prestasi atau emosi tidak terjejas sebelum perlawanan.
“Sebagai atlet, mereka tidak boleh lari daripada kritikan kerana semuanya bergantung kepada prestasi. Bila menang mereka dijulang bila kalah dikritik, itu lumrah,” katanya.








