Inkues: Saksi ke-24 dedah Zara pernah dipulau, diejek hampir setiap hari

KOTA KINABALU – Seorang pelajar junior yang juga saksi kanak-kanak ke-24 dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu mahkamah bahawa arwah pernah dipulaukan dan menjadi mangsa ejekan hampir setiap hari oleh rakan-rakan di sekolah.

Peguam kepada ibu Zara, Shahlan Jufri berkata, saksi mengenali Zara sejak Februari 2025 dan mereka menjadi kawan rapat serta sering tidur bersama-sama di bilik Zara atau di bilik saksi sendiri.

“Saksi memberitahu bahawa Zara seorang yang ceria dan tidak pernah menunjukkan tanda-tanda tekanan.

“Saksi juga selalu menemani Zara ketika berhubung dengan ibunya melalui telefon dan menggambarkan hubungan mereka seperti ‘bestfriend’,” katanya kepada media selepas prosiding inkues di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, pada Rabu.

Jelas Shahlan, saksi turut memberitahu bahawa Zara pernah mengatakan dirinya dipulaukan oleh pelajar dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5.

“Apabila ditanya punca, saksi berkata pelajar lain menganggap Zara suka mencari perhatian.

“Namun, saksi bersetuju yang bahawa senior-senior yang melabelkan Zara minta perhatian,” jelasnya.

Shahlan berkata, saksi turut menceritakan bahawa dia pernah mendengar ejekan berbentuk ‘body shaming’ oleh pelajar junior terhadap Zara dengan kata-kata, ‘Gemuk la ko nih’.

Menurut beliau, selain itu, ada juga ejekan oleh pelajar junior lelaki sekelas Zara yang mempermainkan nama bapa arwah dengan kata-kata, ‘Anak Mahadir, anak Mahadir.’

“Menurut saksi, aktiviti ejekan terhadap Zara berlaku hampir setiap hari dan menjadi kebiasaan dalam kalangan pelajar.

“Sementara itu, pada 15 Julai 2025 sekitar pukul 10 malam, saksi berkata dia melihat Zara keluar dari bilik arwah dengan memakai baju biru putih bertulis ‘HANAFI’ dan tidak bertudung.

“Zara sempat tersenyum kepadanya sambil memberitahu mahu ke bilik lain tempat yang dikatakan sering dijadikan ruang Mesyuarat Asrama (MA).

“Ketika saksi turun tangga menuju ke bilik kakaknya di aras bawah, dia terdengar tiga suara pelajar perempuan menjerit ‘bodoh, s**l’ dari arah bilik dorm di mana Zara dipercayai pergi,” katanya.

Shahlan berkata, pada 16 Julai 2025 sekitar pukul 3 pagi saksi terbangun selepas terdengar bunyi hentakan kuat di luar bilik kakaknya.

“Pada mulanya, saksi menyangka bunyi itu datang daripada pergerakan monyet dan tidak keluar untuk memeriksa.

“Saksi kemudian dikejutkan oleh pelajar senior yang memaklumkan bahawa Zara telah jatuh dari bangunan dan dibawa ke hospital.

“Sekitar pukul 8 pagi pada hari yang sama, saksi mendengar daripada beberapa pelajar junior bahawa mereka terdengar Zara menangis di dalam tandas aras dua sekitar pukul 12.30 tengah malam.

“Namun, kerana takut, mereka meninggalkan tempat itu tanpa bertanya atau menegur Zara,” katanya.

Dalam pada itu, saksi juga menceritakan satu insiden pada Jun 2025 di mana dia melihat Zara menunjukkan tingkah laku pelik tersenyum dan bercakap sendirian sambil menulis di buku diarinya ketika menunggu waktu solat Maghrib di surau.

Tambahnya, saksi berkata pelajar senior suka memberi layanan kasar kepada pelajar junior.

“Ada yang suka menjerit, menengking, marah-marah dan ada juga yang suka memaki.

“Pelajar senior juga gemar mempersalahkan semua pelajar junior sekaligus walaupun hanya beberapa pelajar yang bersalah.

“Saksi berkata walaupun pelajar junior bertanya dengan baik, pelajar senior tidak melayan dan berpura-pura tidak mendengar.

“Sebagai contoh, saksi mengingatkan satu kejadian di mana dia pernah bertanya kepada senior, ‘Bila tutup gate asrama?’, namun pelajar senior berkenaan tidak mempedulikannya,” ujarnya.

Related Posts

MBSJ kutip 426 bangkai tikus selepas operasi racun

SUBANG JAYA – Sebanyak 426 bangkai tikus berjaya dikutip dalam operasi pembersihan yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sekitar kawasan SS15, semalam. MBSJ berkata, operasi berkenaan susulan tindakan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PH terbuka penjajaran politik baharu, setiap negeri ada dinamik tersendiri – Fahmi

PAKATAN Harapan (PH) tidak menolak kemungkinan berlaku penjajaran politik baharu susulan dinamika politik semasa yang berbeza mengikut keadaan dan keunikan setiap negeri. Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

MBSJ kutip 426 bangkai tikus selepas operasi racun

MBSJ kutip 426 bangkai tikus selepas operasi racun

PH terbuka penjajaran politik baharu, setiap negeri ada dinamik tersendiri – Fahmi

PH terbuka penjajaran politik baharu, setiap negeri ada dinamik tersendiri – Fahmi

Pesta Kanowit 2026 jadi pemangkin ekonomi, perpaduan komuniti

Pesta Kanowit 2026 jadi pemangkin ekonomi, perpaduan komuniti

Pelaksanaan MA63 bawa perubahan ketara kepada Sabah, Sarawak

  • By Fatin
  • September 20, 2026
Pelaksanaan MA63 bawa perubahan ketara kepada Sabah, Sarawak

Naikkan cukai rokok mampu bendung perokok muda – CAP

Naikkan cukai rokok mampu bendung perokok muda – CAP

Tahanan rumah belum bermula, Najib kekal di Penjara Kajang

Tahanan rumah belum bermula, Najib kekal di Penjara Kajang