THAILAND dan Kemboja hari ini menandatangani perjanjian damai dikenali ‘KL Peace Accord’ atau Perjanjian Damai KL.
Ia menandakan langkah rasmi untuk menamatkan pertelingkahan dan memulihkan keamanan di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.
Perjanjian damai itu ditandatangani Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Pemeteraian itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, lapor Bernama.
Turut hadir ke majlis itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Hadir sama, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dan Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan.
Malaysia memegang tampuk kepengerusian ASEAN buat kali kelima tahun ini sejak penubuhan badan serantau itu pada 1967, selepas pernah menjadi tuan rumah pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.




