NAIB Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menempelak kenyataan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendesak kerajaan menaikkan harga siling beras putih tempatan.
Mahfuz berkata, kenyataan Tuan Ibrahim itu jelas menunjukkan bahawa pembangkang sendiri sedar harga semasa sudah tidak lagi mencerminkan kos sebenar pengeluaran padi dan beras.
Menurutnya, kenyataan ini secara tidak langsung mengiktiraf bahawa ada keperluan untuk melindungi kepentingan pesawah dan memastikan bekalan beras kekal mampan.
“Kalau benar perjuangkan petani, jangan menyalak bila kerajaan betulkan harga.
“Malah jangan pula apabila kerajaan bertindak menstruktur semula harga bagi memastikan keadilan kepada petani dan kestabilan bekalan, mereka tiba-tiba menjadi ‘wira rakyat’ kononnya kerajaan zalim menaikkan harga beras.
“Inilah wajah sebenar politik hipokrasi pembangkang kotak kasut, hari ini bersuara seolah-olah pejuang petani, esoknya menjadi penghasut nombor satu negara,” katanya.
Menurut Mahfuz, kerajaan hari ini berusaha menyeimbangkan dua kepentingan.
Pertamanya, menjamin pesawah tidak terus terbeban dengan harga padi yang tidak munasabah.
“Keduanya pula melindungi pengguna daripada manipulasi pasaran dan kenaikan mendadak.
“Apa yang penting ialah pembaharuan menyeluruh dalam rantaian nilai padi dan beras, bukan retorik politik yang berpusing ikut arah angin,” ujarnya.
Mahfuz juga turut mencadangkan kerajaan mewujudkan hanya satu gred beras putih tidak lagi membezakan antara beras putih tempatan dan import dengan penetapan harga siling baru yang munasabah kepada pesawah, pengilang, pemborong dan pengguna.
“Ini juga bertujuan mengelak kemungkinan harga beras putih import lebih rendah dari harga beras putih tempatan.
“Ini berdasarkan harga beras putih import makin menurun di pasaran antarabangsa.
“Langkah ini juga bukan sahaja mampu mengelak manipulasi oleh pengilang dan pihak lain, tetapi juga menjamin ketelusan pasaran serta kestabilan bekalan untuk jangka panjang,” katanya.
Menurutnya, kerajaan sudah boleh menetapkan harga baharu beras putih tempatan bersama dengan harga beras putih import kerana pembangkang tidak lagi membantah.
“Kepada pembangkang ingat apa yang kamu cakap.
“Jangan hari ini jadi juara pesawah, esok jadi penghasut rakyat,” katanya.




