
KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, pada Rabu mendengar keterangan daripada saksi kanak-kanak ke-18 (deponen ke-27) yang mendedahkan bahawa ‘spot check’ terhadap loker milik Zara tidak menemui sebarang barang yang hilang.
Menurut peguam ibu Zara, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, saksi menjelaskan bahawa pemeriksaan tersebut dilakukan pada malam 15 Julai 2025, dengan turut melibatkan beberapa rakan sebilik lain.
“Saksi terlibat buat ‘spot check’ di loker Zara pada malam 15 Julai 2025.
“Ada juga rakan sebilik lain di dalam dorm tersebut yang hanya melihat mereka buat ‘spot check’.
“Namun saksi berkata mereka tidak jumpa sebarang barang yang hilang.
“Saksi berkata dia nampak seorang rakan sebilik menjumpai pin bendera Malaysia di beg dan seluar ‘track suit’ warna hitam milik Zara,” katanya semasa sidang media selepas prosiding hari ke-26 di Mahkamah Koroner, pada Rabu.
Mohd Syarulnizam berkata, saksi turut mengesahkan bahawa pelajar yang menjumpai dua pin lencana bendera Malaysia semasa ‘spot check’ di beg dan seluar Zara adalah pelajar yang sama yang sebelum itu memberitahu kehilangan kad ‘calling’ milik pelajar lain.
Sebelum itu, saksi turut menceritakan kejadian pada malam sebelum tragedi, ketika dia sedang membaca buku novel dan terdengar suara pelajar dari bilik hadapan memanggil Zara.
“Saksi berkata dia mendengar pelajar di hadapan dorm memanggil Zara untuk datang ke bilik dorm sebelah untuk berjumpa pelajar senior.
“Pada ketika itu, Zara sedang menulis sesuatu di depan lokernya,” katanya.
Saksi turut mengesahkan bahawa seorang ahli dorm memaklumkan kehilangan dompet sebelum datang berjumpa dengannya dan seorang lagi ahli dorm lain untuk mengadu mengenai kehilangan barang tersebut.
“Saksi berkata rakan sebilik yang kehilangan barang itu mengesyaki Zara, ‘sebab Zara rapat sama dia’,” katanya.
Selepas kejadian itu, saksi memaklumkan seorang rakan sebilik telah mengajaknya bersama beberapa pelajar lain untuk melakukan ‘spot check’ terhadap loker Zara.
“Rakan sebilik ini ada meminta kebenaran pelajar senior sebelum mereka lakukan ‘spot check’ ke atas loker Zara.
“Ada empat orang rakan sebilik Zara yang terlibat dalam membuat ‘spot check’,” katanya.
Selain itu, saksi turut memberitahu mahkamah bahawa dia mengetahui mengenai aktiviti yang dipanggil ‘barcode’ sejak awal tahun 2025 selepas melihat kesan parut di tangan beberapa pelajar lain.
“Apabila saksi bertanya kepada pelajar berkenaan mengenai kesan parut di lengan, pelajar berkenaan mengatakan ‘Cuma barcode ba ja ni’,” ujarnya.
Mengulas berkaitan buku diari milik Zara, saksi berkata, arwah lebih suka meluahkan perasaan melalui catatan di dalam diarinya.
“Saksi tidak pernah pegang atau baca diari Zara. Setahu saksi, Zara akan menulis di dalam diarinya semasa dia lapang, tidak kira waktu siang atau malam.
“Saksi berkata dia tidak tahu di mana Zara menyimpan diari miliknya,” jelas peguam.







