
KOTA KINABALU – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan menggunakan logo ‘Kinabalu’ pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang bakal berlangsung pada 29 November 2025.
Menurut Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, keputusan dibuat setelah berbincang di peringkat Pakatan Harapan (PH) Sabah dan telah menyatakan pandangan pendirian Parti UPKO.
“Ini termasuk soal logo sebab di peringkat PH Sabah kita telah berbincang dan parti UPKO telah menyatakan pandangan dan pendiriannya.
“Sebab pada pilihan raya tahun 2022 di Negeri Johor, PKR menggunakan logo sendiri, AMANAH dan DAP menggunakan logo PH.
“Saya tidak melihat ada kejanggalan untuk UPKO menggunakan logo parti mewakili PH di kawasan yang kita akan bertanding sahaja.
“Jadi ini adalah satu keunikan politik Malaysia dan juga di Sabah yang harus mendapat pengiktirafan, penghormatan daripada semua rakan-rakan parti bukan hanya dalam gabungan parti tetapi diluar parti juga,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Usahawan MADANI ‘Perniagaan Keluarga’, di sini pada Sabtu.
Jelasnya, sehingga hari ini UPKO masih kekal dengan keputusan untuk pilihan raya Negeri menggunakan logo ‘Kinabalu’, namun untuk pilihan raya parlimen menggunakan logo PH.
“Ini yang telah kita sampaikan kepada rakan-rakan dalam PH Sabah dan saya yakin mereka memahaminya.
“Kalau di Johor keputusan itu boleh dibuat sedemikian, saya tidak melihat kenapa Sabah ini harus ada kelainannya,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai agihan kerusi proses rundingan pembahagian kerusi antara parti komponen PH Sabah masih berjalan dan dijangka hanya akan dimuktamadkan pada hari penamaan calon.
“Meskipun sebahagian rundingan telah selesai di peringkat PH Sabah, parti-parti yang pejabatnya di Kuala Lumpur masih memerlukan perbincangan susulan sebelum keputusan akhir dibuat.
“Apa juga yang dimuktamadkan itu hanya akan lebih jelas semasa penamaan calon kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini perubahan kerusi atau calon boleh berlaku pada saat akhir,” ujarnya
Dalam pada itu, Ewon berharap manifesto PH dapat dilancarkan secara bersama walaupun menggunakan logo yang berbeza pada PRN17 Sabah.






