
KOTA KINABALU – PKR Sabah menyatakan hasrat untuk menambahkan jumlah kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang, tanpa mengabaikan calon daripada akar umbi itu sendiri.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, kepimpinan dalam PKR Sabah akan terus dijaga dan fokus utama adalah menambah kerusi di Dewan Undangan Negeri Sabah.
Katanya, PKR Sabah banyak menerima permohonan untuk dijadikan calon dan terus memastikan pimpinan dalam PKR sendiri dapat dicalonkan.
“Sebenarnya kita menilai, kita menerima banyak permohonan dan kita juga akan pastikan bahawa pimpinan kita sendiri akan dicalonkan sebagai antara pilihan-pilihan dan proses akan dibuat untuk membuat penilaian.
“Jadi kita juga perlu terbuka, seperti juga parti-parti lain yang sekarang ini sedang cuba merekrut daripada luar. Jadi yang ini kita kena cari keseimbangan,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Program Pelancaran Tuisyen Satelit 2025, di MADANI Sinergi Centre, Suria Inanam, di sini pada Sabtu.
Selain fokus penambahan kerusi, beliau turut menyatakan bahawa semua pimpinan akan terus dijaga dan tidak diabaikan.
“Kita memang pastikan bahawa pimpinan kita akan dijaga. Bukan maknanya mereka akan dibiarkan.
“Jadi maknanya kita akan cari keseimbangan ini untuk kebaikan parti,” katanya.
Ditanya berkaitan isu pertindihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional, Mustapha berkata pihaknya tidak banyak masalah cuma tinggal beberapa kerusi sahaja yang belum ditetapkan.
“Dengan BN hampir tidak banyak masalah. Hanya tinggal dua kerusi saja tapi itu saya fikir akan diselesaikan,” katanya.
Katanya lagi, agihan kerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga belum dimuktamadkan.
“GRS pun ada beberapa kerusi. Itu saya fikir dalam masa terdekat akan dapat diselesaikan,” ujarnya.






