
TAWAU – Kota Kinabalu terus gah di pentas Sukan Sabah (SAGA) apabila menutup temasya ke-11 dengan kejayaan hat trick juara keseluruhan, sekali gus membuktikan dominasi mereka dalam arena sukan negeri.
Kemenangan berganda itu melengkapkan detik bersejarah buat Kota Kinabalu apabila bukan sahaja mempertahankan kejuaraan keseluruhan, tetapi turut membawa pulang trofi Kontinjen Terbaik hasil usaha dan semangat juang luar biasa atletnya.
Pada SAGA edisi kali ini, kontinjen Kota Kinabalu mengungguli pungutan pingat dengan kutipan keseluruhan masing-masing 28 emas dan gangsa serta 36 perak sekali gus meninggalkan pencabar terdekat Sandakan dan kontinjen tuan rumah Tawau.
Papar yang memberi tentangan sengit juga terpaksa berpuas hati sebagai naib juara dengan pencapaian 20 pingat emas, sembilan perak dan lapan gangsa manakala Sandakan di tangga ketiga dengan masing-masing 19 emas serta gangsa dan 12 perak.
Kontinjen tuan rumah pada kedudukan kelima dengan pungutan pingat 16 emas, 14 perak dan 31 gangsa.
Turut melepasi kutipan 10 emas ialah Keningau 18 emas, Tuaran dan Putaran dengan 12 emas manakala dua kontinjen baharu yang julung kali menyertai SAGA selepas diiktiraf daerah penuh iaitu Paitan meraih enam emas dan Sook meraih satu emas.

Sementara itu, atlet berbasikal dari Kontinjen Tawau, Akmal Thaqif Begurdy, 18, dinobatkan sebagai Olahragawan SAGA ke-11 Sabah 2025 selepas mempamerkan aksi cemerlang dengan merangkul lima pingat emas dalam acara berbasikal dan memenangi anugerah khas sukan berbasikal ‘Most valuable male athlete’.
Manakala Olahragawati SAGA ke-11 menjadi milik Siti Norjahera Beliamor dari Kontinjen Sandakan yang turut meraih empat pingat emas dalam sukan olahraga.
Temasya SAGA ke-11 2025 yang berlangsung selama tujuh hari bermula 11 Oktober di sekitar daerah Tawau itu mempertandingkan masing-masing 217 pingat emas dan perak serta 322 gangsa.
Penyempurnaan penutupan temasya SAGA pada Jumaat disempurnakan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah, Datuk Mansur Asun mewakili Menterinya, Datuk Ellron Alfred Angin.






