KUANTAN – Pemuda UMNO Pahang menempelak Pemuda Pas atas dakwaan cuba mengelirukan rakyat mengenai isu hutang awam kerajaan.
Ketuanya, Mohd Kamil Ibrahim berkata, sayap parti pembangkang itu sering memainkan persepsi, dan kini menjadikan isu hutang sebagai bahan meraih simpati.
Katanya, hakikat sebenar ialah hutang kerajaan negeri bukan beban, sebaliknya pelaburan untuk rakyat dan masa depan negeri.
“Hendak mudah faham, hutang kerajaan negeri ini bukan macam hutang ‘Along’… bukan pinjaman suka-suka.
“Semua pinjaman dibuat mengikut undang-undang, diluluskan Kerajaan Persekutuan dan tujuannya jelas – untuk membiayai projek seperti Perumahan Awam Kos Rendah, bekalan air bersih, kemudahan asas luar bandar serta projek pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi balas terhadap dakwaan Pemuda Pas Pahang kononnya negeri ini satu-satunya negeri di Pantai Timur yang mencatatkan kenaikan hutang awam pada 31 Disember 2024 berbanding 31 Disember 2023.
Mohd Kamil menjelaskan, menurut Kementerian Kewangan – sehingga 31 Ogos lalu – jumlah pinjaman diluluskan untuk negeri-negeri mencecah RM24.15 bilion.
Katanya, setiap pinjaman tertakluk kepada kawalan ketat, kadar faedah yang adil dan berdasarkan kemampuan negeri untuk membayar balik.
Tegasnya, ini bermakna hutang itu dirancang dengan teliti dan menunjukkan kerajaan Pahang tahu mengurus kewangan dengan bijak.
“Kalau hendak nilai kemampuan sebenar, tengok prestasi ekonomi Pahang sekarang. Tahun 2024, Keluaran Dalam Negeri Kasar Pahang capai RM68.7 bilion, dengan pertumbuhan 5.7 peratus – lebih tinggi daripada kadar nasional iaitu 5.1 peratus.
“Tiga tahun berturut-turut (2022 hingga 2024), ekonomi Pahang tumbuh lebih baik daripada purata negara dan itu bukan nasib, tetapi hasil kerja pentadbiran yang cekap dan berpandangan jauh,” katanya.
Mohd Kamil turut membuat perbandingan dengan Kelantan dan Terengganu – negeri-negeri yang ditadbir Pas selama bertahun-tahun – namun masih belum menunjukkan hala tuju jelas dalam usaha memajukan rakyat.
“Kalau ada pun bangunan besar atau projek yang masih berjalan, semuanya adalah warisan daripada usaha kerajaan Barisan Nasional dahulu.
“Sampai sekarang, negeri-negeri itu masih jauh tertinggal kerana tidak mempunyai perancangan dan kepimpinan yang tahu mengurus pembangunan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihati Pemuda Pas Pahang agar tidak memperlekehkan soal pengurusan kewangan negeri.
“Kalau tak faham cara kerajaan urus hutang, jangan sebarkan cerita mengarut semata-mata hendak memburukkan kerajaan dengan maklumat yang tidak tepat.
“Kita yakin bahawa hutang awam sejak dahulu bukan beban, tetapi bertujuan untuk pembangunan.
“Selagi ia diurus secara cermat, berstrategi dan berintegriti, selagi itu rakyat akan dapat manfaatnya – daripada jalan raya yang baik, bekalan air bersih, hingga kepada peluang pekerjaan baharu,” katanya.





