
DARO – Penyediaan bangunan kekal Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di setiap kampung terus diusahakan bagi memperkukuh akses pendidikan awal kanak-kanak di luar bandar.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, pembinaan bangunan sendiri berhampiran kawasan kediaman penduduk amat penting bagi menggantikan operasi di premis sewaan atau bangunan sementara, sekali gus memudahkan ibu bapa menghantar anak-anak ke kelas.
Menurutnya, walaupun pembinaan bangunan baharu di setiap kampung memerlukan peruntukan besar dan dilaksanakan secara berperingkat, kerajaan sentiasa memberikan perhatian sewajarnya terhadap permohonan yang dikemukakan pihak KEMAS di kawasan berkenaan.
“Saya sentiasa meletakkan soal pendidikan termasuk pendidikan awal kanak-kanak sebagai keutamaan kerana ia merupakan asas kepada masa depan generasi muda yang perlu kita bina mulai hari ini.
“Jika bukan saya sebagai wakil rakyat yang membantu memperjuangkan keperluan masyarakat setempat, siapa lagi yang akan melaksanakannya? Alhamdulillah, kerajaan sentiasa menyokong permohonan kemudahan KEMAS yang kita bawa demi keselesaan anak-anak di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tadika/Tabika KEMAS Peringkat Parlimen Igan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ahmad Johnie berkata usaha mendidik kanak-kanak berusia antara tiga hingga enam tahun menuntut tahap kesabaran tinggi serta pendekatan kreatif seperti aktiviti bermain dan menyanyi, namun proses pembelajaran itu perlu diteruskan oleh ibu bapa di rumah.
Jelas beliau, rumah merupakan sekolah pertama manakala ibu bapa ialah guru pertama yang memainkan peranan besar dalam membentuk jati diri anak-anak seiring bimbingan guru di TABIKA dan TASKA.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai peranan luas KEMAS yang menurutnya bukan sahaja mengendalikan kira-kira 14,000 TASKA dan TABIKA di seluruh negara, malah giat memperkasakan golongan wanita serta komuniti luar bandar menerusi program pembangunan keluarga, latihan kemahiran, literasi asas serta keusahawanan bagi menjana pendapatan tambahan.


