
SEPANG – Kerajaan memberi jaminan akan terus memantau keselamatan 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), ketika armada berkenaan dijangka melalui perairan berisiko tinggi berhampiran Gaza dalam tempoh terdekat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan taklimat yang diterimanya daripada Ketua Pengarah merangkap Jurucakap Rasmi Sumud Nusantara Flotilla Command Center, Datuk Dr Sani Araby Al-Kahery, detik 24 jam akan datang dianggap paling kritikal buat flotila itu yang melibatkan 47 kapal daripada pelbagai negara.
Beliau menjelaskan bahawa dalam tempoh sehari atau lebih, kapal-kapal tersebut dijangka memasuki zon kuning yang terletak kira-kira 300 batu nautika dari Gaza.
“Ini saat genting yang dijangka berlaku pintasan oleh Israel. Sekiranya tiada sebarang gangguan dalam beberapa hari, kebanyakan daripada 47 kapal ini akan memasuki zon merah. Berdasarkan sejarah, hampir semua flotila yang cuba masuk ke Gaza akan diganggu dan dipintas dalam zon merah. Namun kali ini, memandangkan insiden di Tunisia baru-baru ini, kemungkinan insiden sama berlaku lebih awal, iaitu di zon kuning,” katanya selepas lawatan rasmi ke Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di Gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kerajaan melalui Wisma Putra sentiasa bersedia memberikan maklumat terkini berhubung perkembangan serta keselamatan delegasi Malaysia dalam misi tersebut.
“Kita juga mengambil maklum bahawa Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada Itali dan Sepanyol kerana menghantar kapal pengawal pantai bagi membantu melindungi flotila ini. Penyertaan kedua-dua negara itu, yang dahulunya sekutu Israel tetapi kini mengiktiraf Palestin, merupakan isyarat penting bahawa sentimen dunia sudah berubah.
“Kita kini berada pada detik bersejarah apabila dunia tidak lagi berdiam diri terhadap tindakan rejim Zionis dan negara haram Israel yang bertindak sewenang-wenangnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Malaysia antara negara pertama yang menyokong sepenuhnya inisiatif Sumud Nusantara yang kini bergabung dengan Global Sumud Flotilla.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang memantau rapat perkembangan ini,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus berusaha memastikan 34 rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi tersebut berada dalam keadaan selamat.






