
SEPANG – Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di ibu negara bulan depan dilihat sebagai peluang terbaik untuk Malaysia menyatakan pendirian berhubung isu Palestin secara terus kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jemputan kepada Trump dibuat bukan atas kapasiti Malaysia semata-mata, sebaliknya atas tanggungjawab negara ini selaku Pengerusi ASEAN.
“Jemputan ini adalah bagi pihak 11 negara ASEAN. Inilah peluang baik untuk semua negara berinteraksi dengan Trump serta pemimpin dunia lain yang turut dijemput hadir,” katanya dalam sidang media selepas lawatan rasmi ke Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di Gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), hari ini.
Menurut beliau, sidang kemuncak itu merupakan platform terbaik untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian Malaysia secara berterus terang mengenai isu Palestin kepada Presiden AS berkenaan.
“Seperti yang pernah kita saksikan ketika Persidangan APEC di San Francisco, Perdana Menteri tanpa segan silu menyatakan sokongan padu rakyat dan kerajaan Malaysia terhadap Palestin. Beliau juga berani mempertikaikan sikap hipokrit sesetengah negara mengenai isu keadilan yang berkait dengan Palestin,” katanya.
Fahmi menegaskan, peluang berharga itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyampaikan pendirian Malaysia terus kepada Trump.
“Jemputan ini adalah peluang baik, bukan hanya bagi Malaysia tetapi juga kepada seluruh negara ASEAN untuk berinteraksi dan menyatakan pandangan mereka kepada Presiden AS itu,” jelasnya.
Beliau berkata, Perdana Menteri sentiasa memilih pendekatan dialog dalam membincangkan isu Palestin, sebagaimana yang ditunjukkan semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) baru-baru ini.
“Sebenarnya menjemput itu lebih susah, mudah untuk memboikot. Namun, sikap Perdana Menteri dalam banyak perkara menekankan keperluan dialog. Di UNGA, kita dapat lihat perubahan sikap banyak negara yang bukan sahaja menyokong gencatan senjata, tetapi juga menghentikan perang di Gaza. Maka, inilah masa paling sesuai untuk kita jemput Presiden AS,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Malaysia turut memainkan peranan penting dalam usaha membantu pembangunan semula bumi Gaza.
“Saya percaya Perdana Menteri akan membangkitkan isu berkaitan sumbangan Malaysia dalam pembangunan semula Palestin, apatah lagi ketika ini semakin banyak negara termasuk Luxembourg mengiktiraf kewujudan negara Palestin.
“Maka, inilah masa yang tepat untuk kita bukan sahaja menyatakan pendirian Malaysia, tetapi juga menunjukkan hasrat negara untuk terbabit dalam membangunkan semula Palestin,” katanya.





