
PENGUMUMAN penurunan harga minyak RON95 kepada RM1.99 seliter bagi warganegara Malaysia menerima reaksi positif dalam kalangan warga maya yang menyifatkan langkah itu sebagai bukti keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap beban sara hidup rakyat.
Menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi menggunakan MyKad, kerajaan mengumumkan harga subsidi ini akan dinikmati rakyat tempatan, manakala bukan warganegara dikenakan harga berbeza.
Seorang pengguna media sosial di platform X, @AzriAbdullah22, berkata, kuota subsidi sebanyak 300 liter sebulan adalah mencukupi bagi kebanyakan pengguna.
“300 liter minyak petrol subsidi sebulan, banyak juga tu. Kalau ikut penggunaan peribadi, boleh isi 7 kali full tank. Lepas harga baru, mungkin 7.5 kali,” katanya di X pada Isnin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengumumkan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025.
Menurut beliau, langkah itu dilaksanakan di bawah program Budi MADANI RON95 (BUDI95) dan hanya akan melibatkan rakyat Malaysia, manakala bukan warganegara perlu membayar pada kadar RM2.60 seliter selepas tarikh pelaksanaan tersebut.
Pengguna lain, @GeloraTenang, turut meluahkan rasa lega dan menyifatkan inisiatif ini sebagai sesuatu yang telah lama dinantikan oleh rakyat.
“Honestly rasa lega. Harga minyak turun ni akan bantu harga barang stabil jugak. PMX buat benda yang rakyat nak sejak lama. Rasa macam suara kita didengar,” katanya.

Sementara itu, @m0hdhfiz memuji keberanian kerajaan dalam membuat keputusan yang berpihak kepada rakyat.
“Aku tengok ramai sembang politik je, tapi ‘real talk’, siapa lagi yang berani buat keputusan macam ni? Harga minyak murah, polis tentera dapat awal, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pun ‘enjoy’. ‘Ini baru caring government’,” katanya.

Dalam nada menyokong, pengguna @kamylladam pula menyelar pihak yang mengkritik kerajaan tanpa melihat sumbangan sebenar yang telah diberikan.
“Syukurlah duduk di Malaysia ni negara aman, minyak turun. Yang walaun ni duk ratib kerajaan zalim. Yang ‘zalim’ ni la jugak bagi bantuan. Kalau zalim, hukum bunuh orang ka, tak bagi makan ka…,” katanya.

Manakala @AmirulHashimi berharap agar langkah ini akan turut memberi kesan positif kepada harga jualan di peringkat pengguna.
“Alhamdulillah. Moga meringankan beban rakyat. Diharapkan ‘business owners especially eateries’ akan turunkan harga jualan sepertimana naik bila minyak naik sebelum ni,” ujarnya
Langkah ini dilihat sebagai hasil penyasaran subsidi yang berjaya, dengan kerajaan menyalurkan semula penjimatan kepada rakyat, termasuk melalui bantuan tunai seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan penambahbaikan infrastruktur asas.






