Sabah: Politik lama, masa depan terpenjara?

Oleh: Swady Guliling, Putatan Sabah

SABAH sering digambarkan sebagai negeri kaya sumber, namun miskin pembangunan. Ironi ini bukan lagi cerita baharu, sebaliknya menjadi ulangan saban tahun. Lihat sahaja isu asas seperti air, elektrik dan jalan raya. Sejak berdekad lamanya, masalah yang sama berulang-ulang tanpa penyelesaian tuntas.

Soalnya, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan? Parti, sistem atau individu yang memimpin? Jawapannya lebih jelas daripada kabur – kegagalan ini datang daripada wajah-wajah lama yang terus mendominasi politik negeri tanpa membawa pembaharuan bermakna.

Warisan politik lama

Sejak era awal pascakemerdekaan, politik Sabah terperangkap dalam cengkaman kelompok yang berpusing silih berganti. Dari zaman USNO, Berjaya, PBS, kemasukan UMNO pada 1990-an hinggalah wujudnya parti-parti tempatan baharu, wajah pemimpin yang memegang kuasa tidak banyak berubah.

Nama parti bertukar, logo bendera bertukar, tetapi pendekatan tetap sama – politik projek, janji pembangunan dan budaya ‘patronage’ yang memberi habuan kecil kepada rakyat sebagai ganti penyelesaian jangka panjang.

Krisis politik 1985 yang menyaksikan pertukaran kerajaan mendadak, episod lompat parti yang seakan sudah menjadi budaya, serta siri peralihan kuasa tidak stabil — semua ini membuktikan politik Sabah bergerak dalam kitaran yang sama.

Kita kini memasuki era kecerdasan buatan dan dunia maya, tetapi politik negeri masih beroperasi dengan mentaliti usang.

Politik wang dan budaya ‘penganuan

Masalah ini menjadi lebih parah apabila rakyat sendiri masih terperangkap dalam budaya politik wang. Prinsip mudah “siapa kasi penganuan, itu kita sokong” berakar kuat. Tangki biru, hamper beras atau elaun kempen sudah cukup membeli sokongan.

Media tempatan pernah melaporkan bahawa aduan berkaitan politik wang berlaku pada PRN lepas iaitu sebanyak 18 laporan telah direkodkan.

Selagi mentaliti ini tidak berubah, selagi itulah pemimpin lama akan terus berkuasa tanpa perlu menunaikan janji besar. Rakyat akhirnya menjadi mangsa kitaran politik murahan yang mengekang masa depan.

Sabah, negeri yang menyumbang hasil minyak dan gas negara, tetapi masih mempunyai rumah tanpa bekalan air bersih terawat secara konsisten. Apakah ini harga yang setimpal dengan sokongan rakyat?

Generasi baharu, pintu yang tertutup

Di sebalik kegelapan ini, anak muda Sabah sebenarnya memiliki bakat luar biasa. Ada profesional di syarikat multinasional, aktivis masyarakat, usahawan sosial, malah ahli akademik yang dihormati. Mereka mampu menawarkan idea segar, integriti dan tenaga baharu. Namun pintu politik terlalu sempit.

Kos bertanding di satu kerusi DUN boleh mencecah ratusan ribu ringgit, apatah lagi untuk menggerakkan jentera pilihan raya. Ruang pengaruh pula dikuasai elit berduit yang telah lama membina rangkaian ‘patronage’.

Akibatnya, politik Sabah kekal menjadi permainan golongan lama, manakala anak muda berbakat hanya menjadi penonton di luar pagar.

PRN17: Referendum generasi

PRN ke-17 bakal menjadi medan ujian sebenar. Undi18 dan pengundi bawah 40 tahun kini membentuk lebih 50 peratus blok pengundi. Mereka inilah kuasa sebenar yang mampu menggoncang landskap politik.

Jika generasi ini berani mengangkat naratif baharu, politik Sabah boleh digerakkan keluar daripada kitaran lama.

Namun, persoalannya: adakah mereka cukup berani menolak status quo? Atau adakah mereka masih mudah diperdaya dengan ‘penganuan’, elaun sementara dan tangki biru?

Jika generasi ini gagal menggunakan kekuatan mereka, peluang untuk mengubah Sabah mungkin sekali lagi terlepas.

Strategi gelombang anak muda

Untuk mencipta gelombang baharu, anak muda Sabah perlu menawarkan pendekatan politik yang berbeza. Beberapa strategi boleh menjadi teras manifesto:

-Membina naratif baharu dengan menekankan isu asas – air, elektrik, jalan raya – tetapi dengan solusi moden dan kos efektif. Contohnya, teknologi rawatan air mudah alih, tenaga solar komuniti, dan jalan raya hijau kos rendah.

-Menggunakan kempen digital dan media sosial untuk menjangkau rakyat, bukannya membeli sokongan dengan wang. Sabah antara negeri dengan kadar penembusan internet yang semakin meningkat, dan platform ini boleh menyaingi kempen tradisional.

-Mewujudkan platform kolektif anak muda, sama ada dalam parti sedia ada atau blok alternatif. Politik tidak semestinya datang daripada parti lama; ia boleh lahir daripada gabungan tenaga baharu.

-Menawarkan politik integriti – bersih, konsisten dan bebas rasuah. Integriti mesti dijadikan modal politik, bukan wang tunai.

-Melaksanakan pendidikan pengundi agar rakyat faham bahawa ‘penganuan’ bukan masa depan. Kesedaran politik mesti ditanam, terutama di kawasan luar bandar

Menolak penjara politik

Sabah memerlukan revolusi minda rakyat. Pengundi mesti mula menilai pemimpin berdasarkan prestasi, keberanian membawa solusi, dan kesungguhan menjaga maruah negeri. Selagi rakyat terus menukar undi dengan ‘penganuan’, selagi itulah mereka kekal terpenjara.

Namun, jika generasi muda berani menolak gaya lama, Sabah boleh melangkah ke fasa politik moden, progresif dan bermaruah.

Lihat Indonesia selepas Reformasi 1998 – dominasi politik lama akhirnya runtuh apabila rakyat menolak budaya rasuah dan nepotisme. Sabah juga boleh menulis naratif sendiri.

Masa depan di tangan rakyat

PRN kali ini bukan sekadar pilihan raya. Ia adalah referendum – sama ada Sabah rela terus dikongkong politik lama, atau sanggup membuka jalan kepada generasi baharu.

Jika rakyat memilih untuk kekal dalam kitaran lama, masa depan akan terus terpenjara. Tetapi jika keberanian ditunjukkan, inilah titik mula revolusi politik Sabah.

Masa depan negeri ini tidak boleh lagi digadai kepada wajah lama yang hanya pandai menjanjikan pembangunan tanpa hasil. Sabah layak untuk lebih daripada sekadar tangki biru.

Sabah layak untuk politik yang berwibawa, berani dan bermaruah. Dan semua itu hanya akan berlaku jika rakyat sendiri memilih untuk keluar daripada bayang-bayang politik lama.

Related Posts

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

KAZAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, Persekutuan Rusia, selama dua hari bermula esok. Wisma Putra memaklumkan, Perdana…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Jangan manipulasi fakta!

Jangan manipulasi fakta!

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi