Pengubahan wang haram: Bekas akauntan GISBH sekali lagi dihadap ke mahkamah

BEKAS akauntan kanan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Mohd Khushairi Osman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini dengan 40 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah lebih RM3.8 juta.

Mohd Khushairi, 54, sebelum ini telah didakwa dengan 54 tuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam membabitkan wang berjumlah RM20.3 juta, pada 10 September lalu.

Dalam prosiding hari ini, Mohd Khushairi bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh empat jurubahasa mahkamah bergilir-gilir di hadapan Hakim Azrul Darus.

“Faham… mengaku tidak bersalah,” katanya.
Dia didakwa dengan 15 tuduhan, iaitu menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM2,694,339.78 daripada akaun simpanan milik dua individu dan beberapa buah syarikat.

Wang itu didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya di sebuah bank di Taman Tun Dr Ismail, dekat sini, di antara tahun 2020 hingga 2024.

Tertuduh yang tenang sepanjang prosiding, turut didakwa dengan 25 tuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1,128,173.80 daripada akaun bank simpanan miliknya kepada akaun bank beberapa buah syarikat dan individu.

Antara syarikat berkenaan ialah GISB Travel and Tours Sdn Bhd, GISB Holdings Sdn Bhd dan GISB Mart Sdn Bhd, yang mana kesalahan itu dilakukan di tempat dan pada masa yang sama.

Bagi semua tuduhan, Mohd Khushairi didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Peruntukan itu membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sangari Ponnan memaklumkan kepada mahkamah, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap tuduhan dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Beliau juga memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan, iaitu tertuduh dikehendaki melaporkan diri ke Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman sebulan sekali sehingga kes selesai.

Bagi syarat tambahan lain pula, pendakwaan memohon perintah supaya tertuduh tidak mengganggu saksi dan dia perlu melaporkan kepada pihak pendakwaan jika berlaku sebarang perubahan kepada alamat kediamannya.

Bagaimanapun, peguam bela, Datuk Rosli Kamaruddin memohon mahkamah mengguna pakai jaminan yang sebelum ini diberikan kepada tertuduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dengan alasan kes terbaru akan dipindahkan ke Shah Alam untuk dibicarakan bersama.

Menurut peguam bela, anak guamnya kini tidak mempunyai pekerjaan tetap, dan hanya sekali sekala berpeluang untuk berniaga di pasar malam bagi mencari pendapatan kerana semua akaun banknya dan milik ahli keluarga dibekukan.

Azrul kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 untuk kesemua 40 pertuduhan dan membenarkan syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan pada 13 November ini bagi sebutan kes.

Related Posts

Hari Wartawan Nasional: Fadillah hargai peranan media pupuk perpaduan

KUCHING – Peranan pengamal media di negara ini terus diiktiraf sebagai komponen penting, khususnya dalam usaha memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Timbalan Perdana Menteri, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca
TVET kini jadi pilihan utama, bukan lagi pilihan kedua

KUALA LUMPUR – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi dianggap pilihan kedua, sebaliknya semakin menjadi pilihan utama dalam kalangan generasi muda susulan peningkatan enrolmen serta kadar kebolehpasaran…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Bekalan minyak dunia kritikal jika Selat Hormuz tidak dibuka

Bekalan minyak dunia kritikal jika Selat Hormuz tidak dibuka

Gordon sah sertai Barcelona

Gordon sah sertai Barcelona

MINDA TOK ABAH: Langkah sepanjang zaman Siti Hajar

MINDA TOK ABAH: Langkah sepanjang zaman Siti Hajar

Operasi SAR pendaki wanita hilang di Gunung Batu Putih diperhebat, dibantu Orang Asli

Operasi SAR pendaki wanita hilang di Gunung Batu Putih diperhebat, dibantu Orang Asli

Kes MB Perlis tembak lembu: Polis mula siasatan awal

Kes MB Perlis tembak lembu: Polis mula siasatan awal

Pemandu ambulans swasta didakwa bunuh kanak-kanak lelaki

Pemandu ambulans swasta didakwa bunuh kanak-kanak lelaki