
SEMUA pihak di Malaysia diseru menyatakan solidariti terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menuju ke Gaza.
Penulis dan aktivis GSF yang mewakili Malaysia, Zainal Rashid Ahmad berkata, tindakan itu adalah sebagai sokongan terhadap Kesatuan Sekerja Pelabuhan Genoa, Itali (USB) yang akan mengadakan demonstrasi besar-besaran pada 22 September ini bagi menyokong konvoi GSF.
Menurut beliau, kesatuan terbabit dengan keahlian lebih 60,000 orang berikrar akan menutup pelabuhan sekiranya ada gangguan atau tindakan dikenakan terhadap konvoi yang membawa lebih 40 kapal mewakili 45 negara tersebut.
“Pada 22 September 2025, konvoi Global Sumud Nusantara dijangka berada tiga atau empat hari mendekati pantai Gaza. USB meminta agar kesatuan sekerja di seluruh Eropah menjadikan 22 September ini sebagai hari solidariti.
“Justeru, pelbagai pihak di Malaysia termasuk kesatuan sekerja, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat, organisasi, masjid, surau dan individu digesa agar turut menyatakan solidariti.
“Tindakan membantu boleh dilakukan dengan cara memuat naik sokongan di media baharu, media elektronik, akhbar atau apa juga cara yang relevan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau yang juga dikenali sebagai ZRA memaklumkan, tarikh tersebut juga signifikan kerana akan berlangsungnya pengundian untuk membentuk Palestin Merdeka.
“Justeru, gesaan tersebut adalah sebagai usaha bersama untuk Gaza dan perjuangan rakyat Palestin.
“Moga anda semua membantu usaha USB Itali dan sekutu kesatuan sekerja mereka di Eropah bagi menyatakan ini adalah hari memberi perlindungan kepada misi membawa bantuan ke Gaza,” katanya.
Zainal kini dalam pelayaran menuju Gaza bagi memecah kepungan Israel dalam usaha menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.
GSF melibatkan lebih 40 kapal dengan penyertaan lebih 800 aktivis dari 45 negara, termasuk tokoh hak asasi manusia, doktor dan sukarelawan kemanusiaan.
Misi tersebut mengulangi usaha antarabangsa terdahulu untuk menyalurkan bantuan secara langsung kepada Gaza walaupun berdepan risiko dihalang atau diserang tentera laut Israel.








