
KOTA KINABALU – Mahkamah Koroner pada Rabu diberitahu bahawa ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat membuat keputusan untuk tidak menjalankan proses bedah siasat terhadap jenazah anaknya itu walaupun sudah diberi penerangan.
Pegawai perubatan, Dr. Logaraj Ratha berkata, beliau telah menerangkan kepada ibu arwah mengenai keperluan serta kepentingan bedah siasat dengan disaksikan oleh seorang lagi ahli keluarga, Nur Shira Abdullah.
“Saya menerangkan bahawa walaupun borang Pol. 61 iaitu borang Permintaan Pemeriksaan Mayat tidak dikeluarkan pihak polis, proses bedah siasat klinikal sebenarnya masih boleh dijalankan dengan kebenaran waris terdekat.
“Namun, selepas penerangan, Noraidah membuat keputusan untuk bedah siasat tidak dijalankan ke atas jenazah Zara,” katanya ketika membaca penyataan saksi semasa prosiding inkues kematian Zara di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, di sini.
Jelas Dr. Logaraj, beliau kemudian menyerahkan Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri kepada Noraidah serta menerangkan kandungan dan bahagian yang perlu diisi.
Menurutnya, beliau turut memaklumkan bahawa tanpa bedah siasat, waris tidak akan memperoleh sebarang laporan rasmi berhubung punca kematian daripada Jabatan Perubatan Forensik pada masa hadapan.
“Noraidah telah mengisi dan menandatangani bahagian berkaitan, manakala Nur Shira Abdullah bertindak sebagai saksi.
“Saya sendiri menandatangani surat tersebut sebagai doktor yang mengendalikan kes ini.
“Noraidah mengesahkan beliau memahami penjelasan serta kandungan surat yang diisi dan ditandatangani,” katanya.
Terdahulu Dr Logaraj dari Jabatan Perubatan Forensik di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dimaklumkan pada 17 Julai lalu, pukul 5.00 petang, mengenai satu kematian di Wad Neurosurgeri HQE yang melibatkan siasatan pihak polis.
Dr Logaraj memberitahu bahawa semua kes kematian di HQE perlu melalui Jabatan Perubatan Forensik sebelum jenazah diserahkan kepada waris.
Saksi menjelaskan, antara perkhidmatan yang disediakan oleh jabatan itu termasuklah pengambilan, pendaftaran, penyimpanan, serta penyerahan jenazah daripada wad atau Jabatan Kecemasan dan Trauma kepada keluarga.
“Proses ini adalah sebahagian daripada polisi operasi Jabatan Perubatan Forensik HQE serta selaras dengan Standard Operating Procedure of Forensic Medicine Services Malaysia,” katanya.
Menurutnya, jenazah tersebut kemudiannya telah dibawa dari Wad Neurosurgeri ke Jabatan Perubatan Forensik yang kemudian dikenal pasti sebagai Zara Qairina Mahathir.
“Memandangkan kes ini melibatkan siasatan polis, saya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Pakar Patologi Forensik yang bertugas pada masa itu, iaitu Dr Ding Chee Swan.
“Saya juga telah menghubungi Pegawai Penyiasat Polis bagi kes ini, Inspektor Wong Yew Zhung daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Papar.
“Inspektor Wong memaklumkan bahawa beliau telah berjumpa dengan Dr Pavankumar Balachandran, pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Neurosurgeri.
“Dr Pavankumar mengesahkan bahawa punca kematian Zara adalah akibat Severe Traumatic Brain Injury with Hypoxic Ischemic Encephalopathy,” katanya.
Tambahnya, Inspektor Wong turut memaklumkan bahawa akan berbincang dengan pegawai atasan sebelum memberi maklum balas lanjut.
Jelas Dr Logaraj, beliau dimaklumkan oleh Inspektor Wong bahawa pihak polis tidak akan mengeluarkan borang Pol. 61 iaitu borang Permintaan Pemeriksaan Mayat dan pihak hospital boleh menyerahkan jenazah Zara kepada keluarganya tanpa melalui proses bedah siasat mediko-legal.
“Bagi pelepasan jenazah, saya telah menerima surat pelepasan atau kebenaran penyerahan jenazah daripada Inspektor Wong agar jenazah Zara diserahkan kepada Noraidah tanpa melalui proses bedah siasat mediko-legal,” ujar beliau.
Saksi ketujuh itu berkata, memandangkan tiada perkara dibangkitkan, pihak hospital telah menyerahkan jenazah Zara kepada waris mengikut polisi hospital dan jabatan.


