PENYOKONG Liverpool dinafikan peluang menyaksikan penampilan sulung pemain termahal Britain, Alexander Isak selepas penyerang Sweden itu tidak disenarai dalam skuad ketika menang tipis 1-0 ke atas Burnley, malam tadi.
Namun pengurus, Arne Slot memberi bayangan mereka tidak perlu menunggu lama dengan Isak berkemungkinan diturunkan menentang Atletico Madrid pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.
Slot mengesahkan penyerang berusia 25 tahun itu, yang menyertai Liverpool pada hari terakhir jendela perpindahan dari Newcastle United dengan nilai £125 juta (RM712 juta), masih belum cukup cergas selepas hampir tidak beraksi musim ini.
“Alex masih jauh daripada bersedia bagi jadual tiga perlawanan seminggu,” kata Slot selepas kemenangan dramatik di Turf Moor yang disempurnakan penalti Mohamed Salah pada masa kecederaan.
“Kami boleh sahaja turunkan dia lima minit hari ini, kemudian 10 minit lagi Rabu dan 15 minit selepas itu, tetapi kami tidak percaya itu cara terbaik membinanya.
“Sweden lakukan dengan betul beri dia sesi latihan intensif tanpa banyak beraksi.
“Kini sama ada Rabu atau Sabtu, dia boleh beraksi sekurang-kurangnya 45 minit, mungkin lebih sedikit.
“Tetapi kalau dia main 45 minit pada Rabu, jangan harap dia mampu ulangi 45 minit atau lebih pada Sabtu kerana badannya belum bersedia.”
Isak sebelum ini diketepikan Newcastle selepas menyatakan hasrat berpindah ke Anfield, dengan satu-satunya aksi kompetitifnya musim ini hanyalah 20 minit bersama Sweden ketika tewas 0-2 di tangan Kosovo minggu lalu.
Liverpool jelas merindukan sentuhan penyerang itu ketika menentang Burnley yang hampir meraih satu mata biarpun beraksi 10 pemain selepas Lesley Ugochukwu dilayangkan kad merah pada minit ke-84.
Namun insiden bola terkena tangan Hannibal Mejbri pada masa kecederaan menghadiahkan penalti yang disempurnakan Salah bagi melengkapkan kemenangan keempat berturut-turut juara bertahan EPL itu.
Menariknya, semua empat kemenangan Liverpool ke atas Bournemouth, Newcastle, Arsenal dan Burnley hadir menerusi jaringan selepas minit ke-80, menjadikan mereka pasukan pertama dalam sejarah EPL mencatat empat kemenangan berturut-turut dengan cara sebegitu lewat.







