LOS ANGELES – Aktivis konservatif dan pempengaruh politik Amerika Syarikat (AS), Charlie Kirk, yang juga sekutu rapat Presiden Donald Trump, ditembak mati ketika sedang berucap di sebuah acara di Utah Valley University, semalam.
Trump dalam hantaran di Truth Social mengesahkan kematian Kirk, 31, akibat kecederaan parah dialaminya.
Susulan itu, Trump mengarahkan bendera di bangunan kerajaan dikibarkan separuh tiang sehingga Ahad ini.
Kejadian berlaku ketika Kirk sedang menjawab soalan daripada pengunjung dan video tular di lokasi menunjukkan dia duduk di kerusi pentas utama sebelum ditembak.
Universiti berkenaan pada mulanya memaklumkan seorang suspek sudah ditahan, namun beberapa laporan media AS kemudian menyebut tiada tangkapan dibuat.
Identiti penembak masih belum didedahkan pihak berkuasa.
Kirk adalah pengasas bersama Turning Point USA, sebuah organisasi konservatif yang mempengaruhi jutaan anak muda di AS.
Dia dikenali kerana lantang menyokong dasar anti-imigrasi dan hak pemilikan senjata.
Sementara itu, pemimpin Demokrat termasuk bekas Presiden, Joe Biden dan Naib Presiden, Kamala Harris mengecam insiden itu, dengan menegaskan keganasan politik tidak boleh dibiarkan berakar dalam masyarakat.






