Gambar hiasan
BRUSSELS – Suruhanjaya Eropah mendapati algoritma cadangan TikTok melanggar peraturan Kesatuan Eropah (EU) selepas didakwa berulang kali mendedahkan pengguna kepada kandungan memudaratkan.
Suapan For You didakwa mendorong pengguna ke dalam lubang arnab apabila mereka terus disajikan video berkaitan masalah kesihatan mental, kesedihan, pengasingan diri dan imej tubuh badan.
Pendedahan berulang itu boleh menjejaskan kesejahteraan mental, khususnya golongan bawah umur dan individu yang mudah terdedah.
Ini kerana algoritma TikTok bergantung kepada tempoh tontonan dan tanda suka.
Semakin lama pengguna menonton video berkaitan penurunan berat badan atau imej tubuh, semakin banyak kandungan serupa akan dicadangkan.
Akibatnya, ia boleh meningkatkan rasa sedih dan keresahan, merendahkan keyakinan diri, memburukkan ketidakpuasan terhadap bentuk badan, gangguan pemakanan dan masalah kesihatan mental lain.
EU turut mendapati TikTok gagal menilai risiko sistem cadangannya dengan menyeluruh, manakala langkah sedia ada seperti mempelbagaikan kandungan dan butang tidak berminat tidak cukup berkesan.
Suruhanjaya itu menggesa TikTok lebih mengutamakan pilihan jelas pengguna berbanding tempoh tontonan, selain mempermudah kawalan pengguna dan menguji algoritma secara berkala.
TikTok kini diberi peluang untuk memberi maklum balas bertulis.
Jika dapatan itu disahkan, TikTok boleh berdepan keputusan ketidakpatuhan dan denda sehingga enam peratus daripada jumlah perolehan tahunan globalnya.
Kes ini sebahagian daripada siasatan terhadap pematuhan TikTok kepada Akta Perkhidmatan Digital EU, termasuk reka bentuk yang boleh menyebabkan ketagihan, perlindungan kanak-kanak, akses penyelidik kepada data dan ketelusan pengiklanan.


