KESATUAN Eropah (EU) menggesa pihak berkuasa Israel supaya tidak mengenakan sebarang halangan logistik atau pendaftaran terhadap rakan kemanusiaan yang menyalurkan bantuan ke Gaza.
Jurucakap Suruhanjaya Eropah, Eva Hrncirova berkata, tindakan Israel yang menahan peserta flotila dan merampas kargo pada Jun lalu jelas tidak membantu mengurangkan penderitaan rakyat Gaza.
“Apa yang kami cuba lakukan ialah meyakinkan pihak berkuasa Israel supaya tidak mengenakan halangan, sama ada logistik atau pendaftaran, kepada rakan kemanusiaan kami. Kami mahu menambah jumlah trak bantuan memasuki Gaza dan menghentikan penderitaan rakyat di wilayah itu,” katanya pada sidang media tengah hari semalam, lapor Anadolu.
Sementara itu, jurucakap EU bagi Hal Ehwal Luar, Anouar El Anouni menegaskan, setiap negara bertanggungjawab melindungi warganegara masing-masing.
“EU menggesa semua pihak dan komuniti antarabangsa agar melakukan segala usaha untuk menamatkan konflik dahsyat ini melalui gencatan senjata segera dan berkekalan,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap sekatan Israel ke atas tiga pertubuhan hak asasi Palestin, dengan menyifatkan tindakan itu bercanggah dengan peranan pembela hak asasi manusia.
“Mereka adalah pelaku penting dalam membina masyarakat inklusif serta mempertahankan nilai demokrasi. Mereka mesti dilindungi dan hak mereka dihormati,” katanya.
Hampir 20 kapal dilaporkan berlepas dari Barcelona akhir bulan lalu dalam misi Global Sumud Flotilla, diikuti satu lagi konvoi dari Genoa, Itali, awal minggu ini. Sebuah lagi flotila dijadualkan bertolak dari Tunisia pada Rabu lalu sebelum meneruskan pelayaran ke Gaza bagi memecahkan sekatan.
Misi itu menghimpunkan beberapa gabungan termasuk Freedom Flotilla Coalition, Global Gaza Movement, Sumud Convoy serta kumpulan Nusantara Solidarity dari Malaysia.
Menurut laporan Integrated Food Security Phase Classification (IPC) pada 22 Ogos lalu, kebuluran sudah melanda Gaza utara dan berisiko merebak sekiranya sekatan Israel berterusan.
Perang genosid Israel di Gaza kini memasuki hari ke-700, dengan lebih 64,500 rakyat Palestin terbunuh. Serangan ketenteraan itu bukan sahaja memusnahkan wilayah berkenaan malah mendedahkan penduduk kepada kebuluran.