
KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memberi jaminan operasi kemudahan gas asli cecair (LNG) di Bintulu, Sarawak masih berjalan lancar dan bekalan tidak terjejas walaupun timbul kebimbangan mengenai aspek keselamatan.
Menurut kenyataan rasmi syarikat minyak dan gas negara itu malam tadi, mereka telah mengambil maklum arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang meminta kawalan keselamatan dipertingkatkan di semua fasiliti LNG di kawasan berkenaan.
“Petronas memandang serius perkara ini dan kami kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menilai situasi serta mengambil langkah sewajarnya. Setakat ini, tiada gangguan operasi, manakala penghantaran bekalan berjalan seperti biasa.
“Keselamatan pekerja, kontraktor dan masyarakat sekitar sentiasa menjadi keutamaan utama kami,” jelas kenyataan tersebut.
Terdahulu, MKN memaklumkan kerajaan telah mengarahkan semua kemudahan LNG di Bintulu mengetatkan kawalan keselamatan berikutan laporan mengenai potensi ancaman yang diterima.
Langkah itu dilihat penting bagi memastikan operasi fasiliti tenaga strategik negara kekal selamat dan tidak menjejaskan kepentingan ekonomi.


