KANGAR – Isu palang parkir pintar yang didakwa menghalang laluan jentera bomba terus menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat, khususnya melibatkan aspek keselamatan awam semasa kecemasan.
ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling berkata, beliau menerima aduan awam mengenai kelewatan dan kesukaran pihak penyelamat masuk ke kawasan bencana.
“Walaupun jentera bomba masih boleh memasuki kawasan kebakaran, kelewatan dua hingga lima minit akibat palang tersebut boleh mengundang risiko besar.
“Setiap saat dalam kecemasan itu amat kritikal. Dua minit sudah cukup untuk api yang kecil merebak menjadi marak. Mujurlah kejadian semalam tidak melibatkan kehilangan nyawa,” katanya.
Beliau menegaskan, isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi isyarat awal bahawa kelewatan sekecil mana pun boleh mengakibatkan kemusnahan lebih besar pada masa depan.
Menurutnya, pemasangan palang parkir pintar adalah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT), namun aspek keselamatan rakyat tidak boleh dikompromi sama sekali.

“Saya sendiri tidak pasti sama ada pemasangan palang ini mematuhi SOP kecemasan atau mendapat pandangan pihak bomba. Orang awam juga berhak tahu sama ada kontraktor dan syarikat terbabit telah mengikut prosedur.
“Keselamatan awam mesti menjadi keutamaan. Saya harap pihak berkuasa dapat mengkaji semula pemasangan palang ini agar ia benar-benar mematuhi SOP dan tidak menghalang laluan kecemasan,” tegasnya lagi.
Jelas beliau, isu itu bukan sahaja membabitkan bomba, malah ambulans dan polis juga boleh terjejas sekiranya berlaku kelewatan di lokasi kejadian.
Baru-baru ini tular di beberapa laman sosial mengenai kesukaran anggota bomba untuk masuk ke lokasi kebakaran bagi memadam kebakaran premis komersial di Jalan Bukit Lagi.
Jentera bomba terpaksa mengambil masa untuk mencari sudut terbaik bagi memasuki kawasan tersebut dengan mengambil masa yang lama.
Selain itu turut tular, lori tangki air bomba tidak berjaya memasuki kawasan tersebut disebabkan halangan terminal pembayaran parkir pintar.







