
KUANTAN – Sultan Pahang, al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar diwujudkan laluan penerbangan terus yang menghubungkan Kuching, Kuantan dan Melaka.
Baginda bertitah, kewujudan laluan itu bukan sahaja akan memberi manfaat besar kepada rakyat di ketiga-tiga negeri, malah menjadi pemangkin kepada hubungan erat antara keluarga serta masyarakat merentasi sempadan negeri.
Menurut Baginda, inisiatif berkenaan seiring dengan kemunculan syarikat penerbangan baharu Sarawak, Air Borneo, yang dilihat berpotensi untuk menjadi penghubung baharu dalam rangkaian udara domestik.
Baginda turut menjelaskan perkara tersebut pernah dibincangkan bersama Yang di-Pertua Negeri Melaka sebelum ini dan yakin ia mampu dipertimbangkan oleh kepimpinan Sarawak untuk direalisasikan.
“Beta berharap Yang di-Pertua Negeri Sarawak dapat memberi perhatian kepada cadangan ini. Dua kali seminggu pun sudah memadai kerana ia akan memudahkan rakyat Pahang, Sarawak dan Melaka saling berkunjung, selain mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan,” titah Baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Temasya Warisan Pahang 2025 di Museum of Contemporary Art (MOCA), Kuantan, semalam.
Dalam kesempatan itu, Baginda turut menegaskan bahawa laluan udara yang lebih baik mampu menjadi jambatan baharu yang mengukuhkan interaksi rakyat, di samping membuka peluang baharu dalam bidang pelancongan, budaya dan ekonomi.
FOTO: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)





