
TAWAU – Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) yang diperluaskan ke Sabah mampu memperkukuh kesiapsiagaan Komunikasi semasa bencana selain meningkatkan literasi digital dan keselamatan siber.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, PRIME sebagai sistem komunikasi bergerak berasaskan kenderaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dilengkapi pelbagai teknologi termasuk satelit, rangkaian selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan sokongan dron.
“Sebagai permulaan, PRIME digerakkan di kawasan Parlimen Kalabakan khususnya di kawasan yang tidak mempunyai NADI di mana melalui ‘Starlink’ yang dipasang di bahagian atas kenderaan, kita boleh menyediakan beberapa perkhidmatan yang lazimnya ada di NADI.
“Antara lain untuk menyampaikan maklumat mengenai keselamatan dalam talian, kempen internet selamat selain daripada aspek e-kesihatan ataupun teleperubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Hari Bersama Komuniti dan Peluncuran PRIME Peringkat Negeri Sabah di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Sungai Imam, di sini, pada Ahad.

Jelas Fahmi, dron yang dilengkapi pembesar suara turut disediakan bagi membolehkan mangsa terperangkap menerima capaian internet serta maklumat terus daripada pasukan penyelamat.
“Kerjasama rapat juga akan dijalinkan bersama NADMA, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta PDRM dalam sebarang operasi yang memerlukan,” ujarnya.
Setakat ini, dua unit PRIME telah ditempatkan di Semenanjung Malaysia dan Sabah manakala unit ketiga untuk Sarawak dijangka siap pada Oktober ini.





