MyPPP Loga Bala Mohan
IPOH – Parti Progresif Penduduk (MyPPP) tidak akan meninggalkan Barisan Nasional (BN) ketika gabungan itu berdepan kesukaran, kata Presidennya, Datuk Dr Loga Bala Mohan.
Beliau berkata, pendirian itu telah dibuktikan sejak Pilihan Raya Umum ke-14, apabila MyPPP kekal bersama BN meskipun gabungan tersebut berdepan cabaran paling getir dalam sejarahnya.
“Kebanyakan pemimpin yang setia dalam MyPPP percaya kita tidak boleh lepaskan tangan pada masa-masa kesusahan.
“Masa senang, kita sudah bersama. Jadi takkan bila BN susah, kita cuci tangan, itu bukan cara kita.
“Cara MyPPP ialah bantu dan bersama parti dalam kesenangan atau kesusahan. Kita tidak akan mengkhianati kawan ketika mereka berada dalam kesukaran,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Terdahulu beliau merasmikan Konvensyen MyPPP Perak ke-72 di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi MyPPP Perak, Datuk Lee Heng dan Setiausaha BN Perak, Datuk Aminuddin Md Hanafiah.
Loga Bala memaklumkan, walaupun MyPPP pernah berdepan isu dalaman sehingga pendaftarannya dibatalkan, parti itu kembali aktif selepas berjaya dalam rayuan dan tetap memilih untuk kekal dalam BN.
“Dalam sejarah parti, kita pernah dibawa ke mahkamah dengan 26 kes dan kita menang semua. Itu membuktikan kesetiaan kita.
“MyPPP kembali bukan melalui permohonan baharu, tetapi melalui rayuan. Sebab itu, kedudukan kita dalam BN tidak pernah terputus,” katanya.


