
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menumpaskan satu sindiket penyebaran SMS palsu yang menggunakan peralatan telekomunikasi haram dikenali sebagai Fake Base Transceiver Station (Fake BTS).
Sindiket berkenaan berjaya ditumpaskan menerusi operasi bersepadu Op Pancing dengan kerjasama strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM), hasil aduan awam dan risikan pihak berkuasa yang dijalankan baru-baru ini.
MCMC menerusi kenyataan berkata, seorang individu ditahan ketika sedang mengendalikan peralatan Fake BTS yang dipasang dalam sebuah kenderaan yang diletakkan berhampiran sebuah pusat beli-belah utama di ibu negara.
Pemeriksaan menemukan kelengkapan komunikasi yang berfungsi sebagai Fake BTS dalam keadaan aktif.
“Ujian frekuensi mengesahkan peralatan berkenaan bukan sahaja menghantar SMS mengandungi kandungan palsu, pautan phishing, tetapi juga berunsur perjudian kepada orang awam di sekitar kawasan terbabit.
“Susulan tangkapan itu, MCMC dengan bantuan PDRM menyerbu sebuah kediaman teres dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam yang dijadikan tempat penyimpanan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kelengkapan komunikasi berkaitan Fake BTS,” katanya, pada Sabtu.
Menurut MCMC, hasil siasatan awal mengenal pasti modus operandi terbaharu sindiket dengan mengubah suai kelengkapan komunikasi Fake BTS berkenaan untuk beroperasi secara mudah alih.
“Secara keseluruhannya, 45 barangan disita dengan anggaran nilai RM100,000.00. Seorang individu turut dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000,” katanya.




