
PENDIDIKAN berkualiti dan fasiliti asas merupakan keperluan utama rakyat Sabah bagi mengatasi isu kemiskinan serta jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Pegawai Tugas-Tugas Khas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Ahmad Farid Sainuri berkata, masalah kemiskinan di bandar dilihat lebih perit berbanding di luar bandar kerana masyarakat kampung masih boleh bergantung kepada jiran atau hasil tanah, manakala di bandar, tekanan kos sara hidup amat tinggi.
“Bagi saya, perkara paling penting yang perlu diberi perhatian ialah pendidikan. Hal ini selaras dengan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang menekankan aspek pendidikan wajib seawal usia 5 tahun.
“Pendidikan berkualiti perlu sampai kepada semua anak-anak tanpa mengira lokasi, sama ada di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, mahupun di kawasan pedalaman seperti Long Pasia dan Pulau Sebatik,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan Podcast Minda Tok Abah pada Jumaat.
Ahmad Farid menegaskan, pendidikan yang setara akan memberi peluang sama rata kepada anak-anak di Sabah untuk memperbaiki taraf hidup keluarga, di samping membekalkan tenaga kerja mahir yang diperlukan oleh industri.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan penyediaan fasiliti asas yang lengkap di kawasan luar bandar, khususnya jalan raya, bekalan air, elektrik dan capaian internet.
“Kalau jalan raya pun tidak ada, atau sering terputus, bagaimana kita mahu keluarkan hasil kampung ke pasaran?
“‘Connectivity’ jalan raya ialah pemangkin utama pembangunan sosioekonomi di Sabah. Begitu juga dengan internet, sekurang-kurangnya biarlah ada capaian yang stabil untuk kegunaan harian masyarakat,” jelasnya.
Menurut beliau, inisiatif kerajaan meningkatkan liputan internet 4G hampir 100 peratus telah membuktikan bahawa masyarakat di kampung juga boleh mengakses maklumat serta menceburi bidang perniagaan dalam talian.
Namun, tanpa sokongan infrastruktur fizikal yang mantap, peluang ini tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Pendidikan dan fasiliti asas ialah kunci untuk membawa perubahan yang signifikan. Apabila hal ini diperkasakan, barulah kita boleh menyediakan tenaga kerja terlatih serta menarik pelabur untuk membangunkan Sabah,” katanya.








