Dominic Szoboszlai
SEPAKAN percuma menakjubkan Dominik Szoboszlai pada minit ke-83 menjadi pemisah dalam pertembungan dua pencabar utama kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila Liverpool menewaskan Arsenal 1-0 di Anfield.
Perlawanan penuh taktikal dan tegang itu seakan berakhir tanpa jaringan, sebelum pemain tengah Hungary itu meledak dari jarak 25 ela, menyaksikan bola meluncur masuk menerusi tiang kanan gol untuk memastikan Liverpool kekal sebagai satu-satunya pasukan dengan rekod 100 peratus selepas tiga perlawanan.
Ini juga adalah kemenangan ketiga berturut-turut diraih menerusi jaringan lewat permainan selepas kemenangan dramatik ke atas Bournemouth dan Newcastle.
Walaupun skuad kendalian Arne Slot masih dalam proses pembentukan susulan rombakan besar selepas menjuarai liga musim lalu, kehadiran barisan serangan berbahaya terus menjadi senjata utama mereka.
Dengan pemain seperti Florian Wirtz, Mohamed Salah, Cody Gakpo dan Hugo Ekitike, Liverpool kekal pasukan ‘perlu ditewaskan’.
Arsenal membelanjakan lebih 250 juta pound (RM1.42 bilion) musim ini untuk memburu kejuaraan pertama sejak 2004, dilanda pelbagai masalah dalam aksi ini.
Tanpa Bukayo Saka dan Kai Havertz yang cedera, barisan serangan kendalian Mikel Arteta tampak tumpul.
Viktor Gyokeres, yang ditandatangani dari Sporting Lisbon, gagal mencabar gandingan pertahanan Liverpool yang diketuai Virgil van Dijk.
Malah, mereka turut kehilangan tonggak pertahanan William Saliba seawal minit ke-5 akibat kecederaan, digantikan oleh Christhian Mosquera.


