DI KEDAH, nama Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sinonim dengan ucapan lantang, lawak pentas politik serta sindiran pedas.
Namun, di sebalik sorak sorai penyokong tegar, realitinya pentadbiran beliau semakin terdedah sebagai retorik kosong tanpa hala tuju.
Sekretariat Suara Anak Kedah telah menggariskan 10 dalil kegagalan besar Kerajaan Negeri pimpinan PN diterajui oleh Pas.
Kesemuanya menggambarkan seorang pemimpin yang lebih ghairah berpolitik berbanding bekerja untuk rakyat.
Menurut Sekretariat Suara Anak Kedah slogan ‘The Greatest Kedah’ hanyalah syok sendiri dan tiada apa yang dapat dibanggakan oleh rakyat Kedah hari ini.
Pertamanya, ini terbukti lebih 100,000 anak muda menganggur dan tiada pekerjaan hingga menyebabkan mereka terpaksa berhijrah ke negeri jiran demi mencari pekerjaan.
Pada ketika anak muda sedang mencari pekerjaan, Sanusi sibuk melaungkan slogan gah dan tiada dasar jelas mencipta pekerjaan.
Slogan itu akhirnya kini menjadi bahan ketawa rakyat hinggalah kepada kanak-kanak sekolah.
Pulau legenda Langkawi yang dahulunya menjadi kebanggaan rakyat Kedah kini semakin terabai dan tidak semeriah seperti dahulu lagi.
Dahulunya tidak perlu sebarang program namun pelancong tetap datang untuk bercuti dan melawat Langkawi.
Bagaimanapun hari ini hanya mengharap program Kerajaan Persekutuan untuk mengalu-alukan pelancong datang ke Langkawi.
Kebersihan terbiar, promosi pelancongan lesu, fasilimiti semakin rosak.
Setiap kali pelabur datang untuk membangunkan Langkawi akhirnya ‘pulang’ begitu sahaja walaupun dengan gahnya Sanusi mengumumkan pelbagai projek dengan yakinnya.
Persoalannya kenapa jadi begitu dan adakah kini pelabur tidak yakin dengan kepimpinan Sanusi?
Sejak 2019 Sanusi berjanji akan menutup kuari di Gunung Pulai dan Baling.
Hakikatnya operasi kuari terus berjalan. Janji beliau hanyalah gula-gula politik, membuktikan kata-kata beliau tidak dapat ditepati.
Sebelum ini penduduk di sekitar gunung itu sangat berharap Sanusi akan menutup kuari itu kerana pencemaran yang berlaku tetapi akhirnya hanya tinggal janji sahaja.
Umumnya mengetahui hari ini pelaburan banyak tertumpu di Kulim sahaja. Manakala di daerah lain seperti Baling, Sik, Padang Terap dan Yan terus mundur dan tiada berita gembira buat penduduk di kawasan itu sehingga hari ini.
Ini jelas dan nyata sama sekali Sanusi gagal menjadi pemimpin untuk semua rakyat Kedah. Beliau hanya pandai menghias angka di pentas ceramah bukan menyelaras pembangunan.
Sanusi bangga selepas dikatakan berjaya membatalkan lesen judi, tetapi judi haram kini semakin berleluasa. Undang-undang longgar dan penguatkuasaan lemah.
Apa pun rakyat mulai sedar bahawa keputusan itu hanyalah simbolik politik dan bukan penyelesaian sebenar.
Kini peminat judi haram sudah beralih dengan membeli di kedai-kedai kampung yang semakin banyak dijual.
Seterusnya kenaikan harga premium tanah hingga dikatakan membebankan rakyat di Kedah hari ini.
Ini merupakan formula mudah untuk Sanusi meningkatkan hasil pendapatan negeri dengan membebankan rakyat.
Ini secara tidak langsung ramai pemilik tanah sukar untuk menjadikan tanah yang mereka usaha itu menjadi hak sepenuhnya.
Sanusi sejak awal perlantikan sebagai Menteri Besar sangat suka mengumumkan projek mega dengan gaya megah tetapi semuanya gagal direalisasikan.
Mungkin pengumuman itu akan memberi keseronokan kepada rakyat Kedah yang memilih beliau sebagai Menteri Besar.
Bagaimanapun akhirnya selepas gagal beliau mula menunding jari kepada ‘grand plan sabotage’ dengan alasan murahan yang menutup kelemahan sendiri.
Begitu juga apabila diasak oleh pembangkang akhirnya beliau mengaku sebagai tukang baca sahaja.
Apabila ekonomi di Kedah sangat lembab sudah pasti akan turut memberi kesan kepada penjaja kecil. Golongan penjaja kecil merupakan nadi ekonomi rakyat marhain dan kini dikatakan tiada pembelaan.
Beberapa kilang antarabangsa yang kini ditutup menyebabkan peniaga kecil turut terasa. Selain dari itu mereka juga ditekan dengan cukai, tiada tapak tetap serta kemudahan asas serba kekurangan.
Sanusi kini lebih sibuk menjaga imej politik daripada membantu malah malah dikatakan Menteri Besar paling sibuk turun naik tangga mahkamah.
Di akhir-akhir ini Kedah sering berlakunya banjir terutamanya di tanah tinggi hingga menyebabkan penduduk dihantui ketakutan.
Kerja pembalakan yang berleluasa dikatakan punca berlakunya banjir kilat, tanah runtuh dan ekosistem musnah.
Namun, Kerajaan Negeri tetap tunduk kepada kepentingan jangka pendek. Kepimpinan Sanusi terbukti tidak peduli pada kesejahteraan generasi akan datang.
Sanusi hari ini lebih dikenali kerana ucapan sarkastik dan lawak sindiran daripada prestasi pentadbiran. Kedah terus mundur kerana Menteri Besarnya memilih pentas ceramah berbanding meja mesyuarat pembangunan.
Kegagalan ini jelas menunjukkan Sanusi bukanlah pemimpin berwawasan. Beliau berjaya mencuri perhatian ramai dengan kata-kata pedas tetapi gagal membina dasar, mengurus pelaburan, menjaga rakyat marhaen dan menjaga alam sekitar.
Sanusi mungkin seorang pemain politik popular, tetapi bukan seorang pentadbir negeri yang berkesan.
Populariti tanpa prestasi adalah racun kepada masa depan Kedah.








