RUU baharu perluas akses keadilan, fokus perlindungan kanak-kanak dan inklusif teknologi

KOTA KINABALU – Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Kerajaan dan Pembelaan Awam yang bakal menggantikan Akta Bantuan Kerajaan 1971 (Akta 26) dijangka membuka lembaran baharu dalam usaha kerajaan memperluas akses kepada keadilan untuk seluruh rakyat Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, selepas lebih lima dekad tanpa pindaan besar, akta sedia ada perlu dimodenkan agar selari dengan perubahan teknologi dan keperluan masyarakat hari ini.

“Sudah 54 tahun akta ini tidak dipinda. 

“RUU baharu ini diperkenalkan dengan pelbagai pendekatan lebih menyeluruh, termasuk mengambil kira aspek teknologi serta perluasan bantuan guaman kepada rakyat,” katanya semasa merasmikan Program Justice on Wheels (JoW) di sini, pada Selasa.

Menurutnya lagi, Sabah dipilih sebagai antara lokasi pelaksanaan utama kerana negeri itu aktif menjalankan pelbagai inisiatif melalui Jabatan Bantuan Guaman (JBG), termasuk program JoW yang membawa perkhidmatan guaman terus kepada masyarakat luar bandar.

“Kita juga akan memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan bagi memperluas pelaksanaan Mahkamah Bergerak bukan sahaja di Sabah, malah di Semenanjung. 

“Langkah ini akan melengkapkan ekosistem keadilan yang lebih holistik,” tambahnya.

Menurut Azalina, RUU baharu itu turut memberi penekanan terhadap perlindungan menyeluruh kepada kanak-kanak, terutamanya mangsa jenayah seksual, melalui penyediaan bantuan guaman secara automatik.

“Saya telah mengarahkan semua kes melibatkan kanak-kanak diberikan bantuan guaman secara serta-merta. 

“Kita juga memperkenalkan konsep legal companion atau pengampingan guaman supaya mereka sentiasa dilindungi dan dibimbing,” katanya.

Jelasnya, bantuan tersebut turut merangkumi kanak-kanak bukan warganegara, dengan penilaian dibuat mengikut kriteria agensi berkaitan.

Azalina turut menekankan keperluan memperkukuh kesedaran undang-undang dalam kalangan rakyat bagi memastikan setiap individu memahami hak mereka.

“Undang-undang yang baik tidak akan bermakna jika rakyat tidak tahu bagaimana untuk memanfaatkannya. 

“Ramai yang terus ke balai polis atau mahkamah tanpa memahami saluran sebenar. 

“Sebab itu JoW penting kita turun padang beri penerangan terus kepada rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui wujud ketidakseimbangan dari segi jumlah pegawai guaman antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, sekali gus menekankan keperluan penyelesaian luar mahkamah seperti mediasi dan timbang tara.

“Kita galakkan pendekatan penyelesaian alternatif atau Alternate Dispute Resolution (ADR) supaya tidak semua kes perlu dibicarakan di mahkamah,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Azalina berkata kekangan pelaksanaan undang-undang juga berpunca daripada kekurangan kakitangan dan sumber antara agensi, termasuk dalam usaha kolaborasi dengan kementerian lain.

“Undang-undang sudah ada, tetapi pelaksanaannya memerlukan kerjasama dan kesedaran semua pihak,” jelasnya.

Justeru, beliau menyeru agar agensi dan kementerian lain, khususnya Kementerian Pendidikan, bekerjasama bagi memperluas program kesedaran undang-undang berkaitan perlindungan kanak-kanak di peringkat sekolah.

Related Posts

Ismail Lasim angkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan ke-13

SERI MENANTI – Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu selepas Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PH masih raih undi popular, namun tewas akibat sistem FPTP – Dr Hafidzah

KOTA BHARU – Pakatan Harapan (PH) masih mendapat sokongan besar rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 apabila merekodkan 40.2 peratus undi popular, namun gagal mempertahankan pentadbiran negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pahang sedia terus sokongan perkembangan seni silat

Pahang sedia terus sokongan perkembangan seni silat

Negeri Sembilan cuti peristiwa esok – MB

  • By Aden
  • August 2, 2026
Negeri Sembilan cuti peristiwa esok – MB

JPJ akan tingkatkan lagi MyJPJ dengan pelbagai ciri baharu

JPJ akan tingkatkan lagi MyJPJ dengan pelbagai ciri baharu

Kren RM70 juta tingkat infrastruktur pelabuhan, sokong pertumbuhan ekonomi Sabah

Kren RM70 juta tingkat infrastruktur pelabuhan, sokong pertumbuhan ekonomi Sabah

Dua kren dermaga baharu tingkat kecekapan operasi Pelabuhan Tawau

Dua kren dermaga baharu tingkat kecekapan operasi Pelabuhan Tawau

Jasa penderma darah terus dihargai

Jasa penderma darah terus dihargai