
KOTA KINABALU – Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri disambut baik sebagai bukti kesungguhan Kerajaan Persekutuan membangunkan luar bandar Sabah secara sistematik.
Ketua UMNO Sabah yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, RMK13 penting kerana memberi keutamaan kepada kepentingan Sabah, terutama dalam sektor pertanian, perikanan dan industri asas tani.
“Peruntukan lebih RM227 bilion termasuk pembentukan hab perikanan dan ekonomi biru di Sabah dilihat mampu memperkukuh rantaian bekalan makanan negara.
“Pendekatan menyeluruh RMK13 turut merangkumi pemodenan sektor pertanian melalui automasi dan teknologi pintar, yang dijangka memberi impak besar kepada komuniti luar bandar.
“Antara projek berimpak tinggi yang turut diberi perhatian ialah Taman Perindustrian Kota Kinabalu, penaiktarafan depoh biodiesel di Sandakan dan Lahad Datu, serta Lebuhraya Pan Borneo Sabah,” dalam satu kenyataan media, pada Jumaat.
Dalam RMK13, dijangka akan memacu pembangunan infrastruktur, memperkukuh keadilan sosial dan meningkatkan daya tahan ekonomi luar bandar secara menyeluruh.
Menurutnya, penekanan terhadap pembangunan tenaga kerja luar bandar menerusi TVET MADANI dijangka melahirkan agropreneur muda dan teknokrat tempatan.
Tambahnya, langkah ini selari dengan sasaran RMK13 untuk menjana 1.2 juta peluang pekerjaan menjelang 2030, termasuk dalam sektor digital dan pertanian pintar dan dilihat sebagai titik tolak penting yang mengangkat Sabah bukan sekadar penerima pembangunan, tetapi pemangkin pertumbuhan baharu negara.
Sehubungan itu, Bung menggesa Kerajaan Negeri Sabah agar lebih proaktif menyelaras strategi pembangunan negeri dengan RMK13 supaya segala peluang yang ditawarkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.






