
PERTUBUHAN Pendidikan Intelek Warga Terengganu (Intelek Terengganu) hari ini menggesa Kerajaan Negeri memberikan penjelasan berhubung isu penyerahan pengurusan Duyong Marina Resort daripada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu kepada syarikat swasta, Vinters Hotel Sdn. Bhd.
Setiausaha Intelek Terengganu, Ahmad Nadhir Yob dalam kenyataannya berkata, penyerahan pengurusan aset berkenaan menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat, khususnya berkaitan prinsip tadbir urus dan pengurusan aset negeri yang telah diwujudkan sebagai warisan untuk generasi akan datang.
“Sebagaimana yang diketahui, Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu ditubuhkan semasa pentadbiran Allahyarham Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad ketika beliau menjawat jawatan Menteri Besar Terengganu.
“Dengan tujuan khusus untuk mengurus dan menambah hasil daripada industri petroleum, sebagai langkah menyediakan sumber kewangan alternatif sekiranya hasil royalti atau wang ehsan berkurangan suatu masa nanti,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau turut menegaskan bahawa penubuhan tabung tersebut merupakan suatu bentuk amanah yang perlu dijaga oleh Kerajaan Negeri agar hasil bumi Terengganu dapat terus dinikmati oleh generasi anak negeri secara mampan.
“Sekarang sudah hampir 40 tahun tabung ini ditubuhkan, dan realitinya kini hasil pemberian khas kerajaan Persekutuan kepada negeri Terengganu semakin berkurangan. Maka timbul persoalan, mengapa aset yang dimiliki oleh tabung ini diserahkan kepada pihak lain?” soalnya.
Justeru, Ahmad Nadhir berkata, Intelek Terengganu menuntut agar Kerajaan Negeri tampil memberikan penjelasan menyeluruh mengenai status pengurusan Duyong Marina Resort serta hala tuju dan ketelusan dalam tadbir urus Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu secara keseluruhan.
“Kami berpandangan bahawa Kerajaan Negeri wajib memelihara dan mempertahankan amanah yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham Tan Sri Wan Mokhtar kepada generasi anak Terengganu, agar mereka dapat menikmati hasil pembangunan negeri ini sebagaimana yang dihasratkan,” ujarnya.






