
KOTA KINABALU – Angkatan muda keadilan(AMK) Sabah menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sebagai cerminan politik songsang susulan dari kenyataan Takiyuddin Hassan di dalam perbahasan Dewan Rakyat.
Ketua Penerangan AMK Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus berkata, tindakan Takiyuddin yang cuba mengaitkan bekas pengetua sekolah dengan seorang VVIP tanpa bukti jelas, semasa membahas isu kematian tragik Zara Qairina adalah satu contoh jelas pendekatan politik yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.
“Situasi ini mencerminkan budaya politik songsang PN yang sering melempar tuduhan sebelum menyemak kebenaran.
“Tindakan menunggang isu penderitaan dan kematian tragik untuk kepentingan politik adalah perbuatan yang keji dan tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Tambah Hilmie, kenyataan Takiyuddin boleh mencetuskan salah anggap dan spekulasi awam malah menghina prinsip keadilan serta menambah luka kepada keluarga mangsa yang masih menanti kebenaran.
“Kes Zara Qairina bukan modal politik untuk mencari populariti tetapi satu tuntutan serius terhadap sistem keadilan yang lebih adil, telus dan bertanggungjawab.
“AMK Sabah mengingatkan bahawa politik bukan medan untuk memanipulasi derita rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, AMK Sabah mendesak Takiyuddin segera menarik balik kenyataan beliau di Dewan Rakyat secara terbuka.
“Pihak kerajaan telah menyatakan komitmen yang jelas melalui Menteri Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa siasatan terhadap kes ini akan dilakukan secara menyeluruh dan profesional.
“Kami juga menyeru rakyat Malaysia agar menolak politik kebencian dan memperkukuh budaya politik berprinsip,” katanya.
Jelasnya, rakyat kini semakin matang dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana ahli politik yang menyalahgunakan platform Parlimen untuk menyebarkan fitnah serta mempermainkan penderitaan rakyat.








