
KOTA KINABALU – Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan isterinya dengan insiden tragik melibatkan arwah Zara Qairina Mahathir yang dibangkitkan dalam perbahasan Ahli Parlimen baru-baru ini.
Beliau menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu sebagai tidak berasas dan tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim.
“Tuduhan ini bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah mencemarkan reputasi individu yang tidak lagi terlibat dalam perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Menurut Mustapha, isterinya, Cikgu Rosnih Nasir, merupakan bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar yang telah bersara sepenuhnya daripada perkhidmatan pendidikan pada 22 November 2024.
Jelas beliau, sepanjang tempoh selepas persaraan, isterinya tidak mempunyai sebarang keterlibatan dalam urusan pentadbiran mahupun pengurusan sekolah tersebut.
Insiden melibatkan arwah Zara Qairina berlaku pada 16 hingga 17 Julai lalu, iaitu hampir lapan bulan selepas persaraan isterinya.
“Maka, sebarang cubaan untuk mengaitkan beliau dengan insiden ini adalah fitnah semata-mata dan satu bentuk manipulasi politik yang tidak berasas,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru semua pihak agar mengamalkan prinsip tabayyun atau menyelidik terlebih dahulu sebelum menyebarkan sebarang tuduhan.
“Hentikanlah eksploitasi terhadap tragedi ini sebagai modal politik.
“Hormatilah proses siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan hentikan penyebaran fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta emosi individu yang tidak bersalah,” ujarnya.

Mustapha turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah Zara Qairina dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta keadilan dapat ditegakkan sewajarnya.


