Perlu berani cegah buli siber walau sudah jadi norma baharu

PUTRAJAYA – Gejala buli berlaku dalam kehidupan manusia hari ini jelas sekali mengalami proses evolusi, di mana, jika dulu buli dikaitkan dengan penderaan fizikal dan mental secara bersemuka tetapi hari ini, buli turut berlaku secara maya.

Lebih dikenali sebagai buli siber, perkara ini boleh berlaku dalam keadaan pihak terbabit dapat dihubungkan melalui internet serta penggunaan teknologi komunikasi seperti teks, emel, laman web sosial dan aplikasi sembang.

Malah, akhir-akhir ini, media sosial semakin menjadi tumpuan susulan dipenuhi dengan komen dan pandangan berbentuk spekulasi serta provokasi daripada netizen berkaitan pelbagai isu, menjadikannya semakin sukar untuk dikawal.

Apa yang membimbangkan, perbuatan keji itu sudah pun meragut nyawa mereka yang tidak berdosa dan masih ada dalam kalangan netizen yang beranggapan komen berbaur negatif dan kecaman hanyalah sebagai gurauan serta kononnya untuk motivasi kepada mangsa dalam melakukan perubahan.

Bagi anak muda, rata-rata mereka bersetuju bahawa buli siber adalah perilaku membimbangkan berbanding buli tradisional berikutan ‘serangan’ boleh dilakukan secara berpanjangan dan berulang kali.

Mahasiswa, Ahmad Fizry Roslan, 21 berpandangan, perbuatan itu dilihat sudah menjadi norma baharu dalam kalangan masyarakat dengan pelakunya cenderung untuk menakutkan, memalukan atau mendatangkan kemarahan mangsa.

Jelasnya, komen kebencian atau negatif dilihat mampu mengakibatkan mangsa memilih untuk menjauhkan diri daripada orang lain dan berpotensi untuk membahayakan diri kerana berkemampuan mencederakan fizikal mengikut perasaan.

“Buli siber ini sudah makin berleluasa, dah jadi macam norma untuk netizen sekarang yang mana mereka akan berkata atau meluahkan di media sosial tanpa memikirkan apa yang orang lain akan rasa.

“Justeru itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) perlu memperkasa penguatkuasaan. Kalau di Telegram, mereka sudah mampu tapis kandungan lucah, seperti itu juga perlu dilakukan terhadap kandungan individu yang dibuli agar kita boleh kurangkan kadar mangsa,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.

Mengulas lanjut, dia yang mengambil jurusan Sains Marin, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menyambut baik Kempen Internet Selamat (KIS) dilancarkan oleh Kementerian Komunikasi dan menyifatkan inisiatif nasional dapat memperkukuh kesedaran serta keupayaan rakyat Malaysia dalam menghadapi pelbagai cabaran keselamatan digital, khususnya perbuatan buli siber.

“Kempen itu memang sedikit sebanyak membantu beri kesedaran kerana setakat ini ramai yang tidak tahu bahawa buli siber ini sudah semakin berleluasa dan kritikal. Saya mengharapkan agar kempen ini diperluaskan secara holistik,” katanya.

Sementara itu, pelajar, Muhammad Irfan Mohd Zaki, 18, menyifatkan buli siber lebih buruk berbanding buli cara lama kerana ia boleh mendatangkan kesan negatif ke atas mangsa dari segi emosi, fizikal atau mental secara berterusan.

Malah, dia yang mengambil jurusan Asasi Kejuruteraan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, buli di internet dilihat unik apabila pelaku boleh berselindung di sebalik profil palsu di media sosial tanpa menggunakan identiti sebenar serta sukar dikesan.

“Buli siber ini boleh dikatakan sudah parah, dah jadi seperti endemik kerana peranan dan kesannya selain pelaku boleh melakukan kecaman, kritikan, menghina dengan sewenang-wenangnya, menggunakan taktik ‘anonymous’ agar mereka tidak dapat dikesan.

“Saya mengharapkan agar lebih banyak lagi pendedahan terutamanya kepada masyarakat awam selain memastikan penguatkuasaan dan pemantauan ketat daripada pihak yang berwajib,” katanya.

Bagi Hafizah Abdul Samad, 25, masyarakat Malaysia harus bekerjasama menangani dan mencegah amalan buli siber, terutama di media sosial di samping bersama-sama mewujudkan kesedaran rakyat mengenai buli siber.

Katanya, pengguna media sosial dan internet seharusnya mengamalkan kawalan diri, beradab dan empati terhadap orang lain serta mengelak mengulas isu sensitif atau melontarkan komen dalam talian secara semberono.

“Saya setuju untuk kita bantu melawan pelaku yang membuli mangsa namun kalau nak komen, jangan balas dengan cara negatif ataupun kecaman. Kita perlu balas dengan cara baik.

“Jangan pula kita ikut komen seperti cara pelaku menyerang mangsa. Tegurlah dengan cara berhemah serta beretika di samping penguatkuasaan berkala sangat diperlukan sebab sekarang ini sudah terlampau ramai yang menjadi ‘keyboard warrior’ dengan membalas komen dengan kata-kata negatif,” katanya.

Related Posts

Kerajaan sedia tambah STR, SARA jika ekonomi terus kukuh – PM

IPOH – Kerajaan MADANI bersedia meningkatkan kadar bantuan kepada rakyat menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekiranya kedudukan ekonomi negara terus mengukuh serta kewangan kerajaan mengizinkan.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
KKR, Sabah dan Sarawak meterai MoU tubuh Makmal MyBIM Malaysia

KOTA KINABALU – Kementerian Kerja Raya (KKR) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak bagi penubuhan Makmal MyBIM Malaysia sebagai langkah memperluaskan penggunaan teknologi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‘Pujuk macam mana pun, PDM BN DUN Klawang tetap ditutup’

‘Pujuk macam mana pun, PDM BN DUN Klawang tetap ditutup’

Kerajaan sedia tambah STR, SARA jika ekonomi terus kukuh – PM

Kerajaan sedia tambah STR, SARA jika ekonomi terus kukuh – PM

Sabah sertai Deklarasi Data Aset Jalan, rekod lebih 20,000 kilometer jalan negeri

Sabah sertai Deklarasi Data Aset Jalan, rekod lebih 20,000 kilometer jalan negeri

Pengguna dakwa laman sosial Facebook gagal diakses

Pengguna dakwa laman sosial Facebook gagal diakses

KKR perkasa pendigitalan sektor pembinaan menerusi Program Kolaborasi Strategik 2026

KKR perkasa pendigitalan sektor pembinaan menerusi Program Kolaborasi Strategik 2026

KKR, Sabah dan Sarawak meterai MoU tubuh Makmal MyBIM Malaysia

KKR, Sabah dan Sarawak meterai MoU tubuh Makmal MyBIM Malaysia