SEKIJANG – Kerajaan Persekutuan terus memperkukuh komitmen dalam menangani isu banjir di Johor apabila memperuntukkan sebanyak RM2.9 bilion menerusi Belanjawan 2026 bagi melaksanakan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berkeutamaan tinggi di seluruh negara.
Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa Beliau berkata demikian susulan tinjauan perkembangan Projek RTB Fasa 3 Pakej 1 di Mukim Pogoh, Sekijang bagi melihat sendiri status semasa pelaksanaan projek serta memastikan segala isu di tapak dapat ditangani segera demi kelancaran projek.
Menurut Dr Zaliha, susulan banjir besar Johor pada Mac 2023, Kerajaan Persekutuan telah menyegerakan pelaksanaan projek-projek RTB bernilai lebih RM600 juta bagi menghadapi ancaman banjir dan kesan perubahan cuaca yang semakin mencabar.
“Semua projek kini dipantau rapi supaya dilaksanakan dengan telus, amanah dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat, khususnya dalam usaha melindungi kediaman penduduk serta mengurangkan risiko banjir di negeri ini.
“Menerusi Belanjawan 2026, sebanyak RM2.9 bilion diperuntukkan untuk 43 projek RTB berkeutamaan tinggi termasuk projek baharu RTB Sungai Chaah, Segamat yang bakal memberi impak besar kepada penduduk Sekijang dan kawasan sekitar,” katanya.
Dalam masa sama, Dr Zaliha memaklumkan Projek RTB Fasa 3 Pakej 1 Sungai Muar kini mencatat kemajuan fizikal 38.84 peratus berbanding jadual asal 19.98 peratus, sekali gus mendahului pelaksanaan selama 157 hari.
Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai bukti kesungguhan kerajaan dalam memastikan projek infrastruktur kritikal dapat disiapkan lebih awal demi manfaat rakyat, terutama bagi kawasan yang sering terdedah kepada bencana banjir.
Tambah beliau, pihaknya juga bercadang menjemput Perdana Menteri ke Sekijang bagi meninjau sendiri perkembangan projek-projek RTB berkenaan, sekali gus memperlihatkan komitmen Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan agenda keselamatan rakyat dan pembangunan infrastruktur terus diberi keutamaan.






