
PUTRAJAYA – Kos pengeluaran industri agrokomoditi negara meningkat susulan kenaikan ketara harga input pertanian termasuk baja NPK bagi kategori tempatan dan import yang naik sehingga 45.5 peratus, manakala racun meningkat sehingga 37.5 peratus.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tekanan kos turut berpunca daripada aspek logistik apabila kos penghantaran ke Asia Barat meningkat antara 50 hingga 80 peratus, selain premium risiko perang meningkat sehingga tiga peratus.
“Kos operasi perladangan dan jentera meningkat antara 10 hingga 30 peratus, termasuk kos penanaman semula getah yang melonjak sehingga 55 peratus.
“Kos pengeluaran oleokimia sawit juga meningkat sehingga 30 peratus,” jelasnya ketika Taklimat Krisis Bekalan Global, pada Isnin.
Beliau berkata, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah mitigasi bagi mengurangkan tekanan kos serta melindungi pendapatan pekebun kecil yang terkesan.
“Antara langkah dilaksanakan termasuk pemantauan kos operasi loji dan pengoptimuman kos pengeluaran, selain penyaluran Bantuan BUDI Agri-Komoditi bagi meringankan beban kos input.
“Kerajaan turut menyelaras pembelian pukal baja dan racun melalui agensi pusat bagi mendapatkan harga lebih rendah untuk petani.
“Kerajaan juga menyediakan bantuan logistik dengan memberi kemudahan pembayaran balik levi dan ses eksport bagi kargo yang terpaksa dipulangkan semula untuk mengurangkan kerugian pengusaha,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan baja organik sebagai alternatif kepada baja kimia import yang mahal turut diperluaskan, selain penggunaan teknologi pemetaan baja Soil Nutrient Probe (SNP) dalam penanaman koko dan lada.
Dalam pada itu, katanya, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersetuju supaya rantaian logistik sektor agrokomoditi diperkasa melalui kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Fokusnya adalah supaya tindakan ini dapat melindungi secara keseluruhan merangkumi pengeluaran, pekebun kecil, kestabilan bekalan dan daya saing eksport negara,” katanya.







