
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah menolak dakwaan kononnya mengabaikan penggiat industri kreatif tempatan, sambil menzahirkan komitmen untuk terus membuka ruang dan mendengar pandangan semua pihak demi memperkukuh sektor tersebut.
Penjelasan itu hadir susulan pelancaran platform penstriman digital baharu, Borneo.TV, apabila timbul dakwaan segelintir pihak yang kononnya penggiat seni dan kreatif Sabah dipinggirkan.
Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai, berkata Kerajaan Negeri sedia dan sentiasa membuka pintu untuk bertemu dengan semua pempengaruh, pemain industri dan penggiat seni tempatan di negeri ini, bagi membincangkan isu-isu berbangkit sekali gus menambah baik industri kreatif negeri.
Jelasnya, kewujudan Borneo.TV sebenarnya membuka peluang yang lebih luas kepada anak tempatan untuk mengetengahkan kandungan Sabah ke peringkat antarabangsa.
“Kerajaan amat menggalakkan syarikat produksi milik anak Sabah untuk menjadi penyedia kandungan (content provider) bagi Borneo.TV dan menghasilkan karya berkualiti yang boleh bersaing di peringkat global.
“Inilah masanya untuk merebut peluang yang ada untuk menghasilkan karya berkualiti sehingga mampu dipromosikan ke luar negara menerusi platform Borneo.TV.
“Kita mahu cerita Sabah disampaikan oleh anak Sabah sendiri. Borneo.TV bukan sekadar platform digital, tetapi ruang membina naratif tulen tentang budaya, sejarah dan suara rakyat Sabah kepada dunia,” katanya dalam kenyataan media di sini pada Isnin.
Beliau juga menyuarakan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkasa industri kreatif secara menyeluruh dan mengalu-alukan pandangan konstruktif daripada semua pihak demi pembangunan bersama.
Platform Borneo.TV yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, pada 1 Julai lalu merupakan antara inisiatif utama dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya bagi memperkasa industri penyiaran dan modal insan tempatan.





