
SANDAKAN – Industri minyak sawit di Sabah dilihat berpotensi besar untuk terus diperkasa menerusi pembangunan industri hiliran dan penerokaan bidang baharu seperti tenaga boleh diperbaharui dan biomas.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDE), Datuk Phoong Jin Zhe berkata, industri ini kini berada di persimpangan penting dengan pelbagai peluang baharu yang sedang terbuka dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pemain industri.
“Ini adalah ruang untuk kita fikirkan bersama bagaimana memajukan industri ini, termasuk isu-isu berkaitan tenaga boleh diperbaharui, amalan hijau serta galakan kepada pemilik tanah untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan,” katanya kepada media selepas merasmikan program Malaysia Palm Oil Expo (MAPEX) 2025 Second Edition di Dewan Hakka, di sini, pada Rabu.

Phoong turut menekankan kepentingan untuk memperkukuh pembangunan industri hiliran minyak sawit di Sabah termasuk penghasilan produk nilai tambah dan biomas yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
Dalam pada itu, Phoong baru-baru ini mengadakan lawatan kerja ke Osaka, Jepun dan mengambil peluang bertemu dengan beberapa syarikat antarabangsa yang menunjukkan minat melabur dalam industri biomas di Sabah.
“Saya berkongsi peluang ini dengan pemain industri tempatan agar kita boleh bawa masuk pelabur luar dan domestik seperti FGV dari Semenanjung untuk membangunkan kilang di sini.
“Bukan sahaja kita buat minyak sawit mentah (CPO) atau ‘primary bioproducts’ tetapi kita mahukan lebih banyak industri berlaku di Sabah boleh muncul di Sabah khususnya di Sandakan,” katanya.

Tambah beliau, Sandakan merupakan lokasi strategik bagi pembangunan industri minyak sawit dan harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk menarik pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Saya harap acara seperti ini dapat diperbanyakkan agar lebih ramai pelabur mengenali potensi Sandakan. Terima kasih kepada NRG Association atas inisiatif ini,” katanya.
Sementara itu, menyentuh perkembangan projek kenderaan elektrik (EV) di Sandakan, Phoong memaklumkan bahawa projek berkenaan kini berada di peringkat awal penyerahan arahan pembangunan dan masih dalam proses fasilitasi dengan pihak berkuasa tempatan.
“Syarikat terbabit telah mendapat kelulusan Lesen Pembuatan Persekutuan (FML) daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan kini dalam peringkat perancangan lanjut serta berurusan dengan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS),” ujarnya.







