JAWATANKUASA Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS) bagi mengukuhkan kredibiliti pengurusan fiskal negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, penubuhan JTKS itu adalah susulan Mesyuarat JKKTN yang dipengerusikannya semalam.
“Perhatian serius diberikan terhadap penemuan audit berkaitan ketakteraturan kewangan yang berpotensi menjejaskan kredibiliti pengurusan fiskal negara.
“Sehubungan itu, dan selari dengan pengukuhan peranan Jabatan Audit Negara melalui pindaan kepada Akta Audit 1957, mesyuarat bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius,” katanya menerusi hantaran di X.
Anwar menjelaskan, penubuhan JTKS itu bertujuan memastikan tindakan susulan lebih holistik, bersasar dan berimpak tinggi dapat dilaksanakan, selaras dengan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti.






