TANGKAK – Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa penggunaan bahan binaan tempatan sebagai langkah mengurangkan kesan kenaikan tarif import oleh Amerika Syarikat dilihat merupakan langkah bijak terhadap ekonomi Malaysia.
Pengerusi Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, keputusan itu mencerminkan tindakan cekap dan pantas oleh seorang pemimpin dalam menangani cabaran kenaikan tarif berkenaan.
“Perdana Menteri mengarahkan agar semua projek bangunan sektor awam menggunakan bahan binaan keluaran syarikat tempatan.
“Langkah ini bukan sahaja melindungi industri tempatan daripada kesan negatif luaran, malah memastikan ekonomi negara kekal kukuh.
“Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasakan ekonomi domestik serta menyokong pengeluar tempatan demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, portal Malay Mail melaporkan gesaan Perdana Menteri untuk beralih kepada bahan binaan tempatan sebagai langkah untuk mengurangkan kesan kenaikan tarif import oleh Amerika Syarikat terhadap ekonomi Malaysia.
Beliau berkata, peningkatan penggunaan produk tempatan negara dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan import dan memperkukuh ekonomi domestik.
Dalam satu sesi dialog bersama pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Anwar menyatakan bahawa semua sekolah, universiti, dan hospital diarahkan untuk menggunakan panel solar buatan Malaysia.
Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan kesan negatif daripada sekatan eksport yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap produk tertentu, termasuk panel solar yang dihasilkan oleh syarikat China yang beroperasi di Malaysia






