
MIRI – Program Bakti MADANI Miri 2025: Sarawak Maju Makmur menjadi bukti kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta memperkasakan rakyat di peringkat akar umbi.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, penganjuran program tersebut mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam menjayakan pembangunan yang bersifat inklusif dan menyeluruh.
“Bakti MADANI bukan sekadar acara tahunan, tetapi lambang komitmen kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkasa, tanpa mengira latar belakang atau lokasi,” katanya semasa membacakan teks ucapan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau turut menekankan kejayaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang berjaya menarik pelaburan melebihi RM125 bilion serta mewujudkan lebih 53,000 peluang pekerjaan dalam sektor strategik seperti tenaga boleh diperbaharui dan industri berat.
Antara inisiatif utama yang diumumkan dalam program tersebut ialah Bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang memberi bantuan antara RM250 hingga RM800 kepada lebih 850,000 isi rumah berpendapatan rendah melalui platform e-dompet SPay Global.
Kerajaan Sarawak juga bakal menawarkan pendidikan tinggi percuma mulai 2026 kepada anak-anak tempatan di institusi milik negeri seperti Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Swinburne University of Technology Sarawak dan i-CATS University College.
Julaihi turut menggariskan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur utama sebagai pemangkin pembangunan luar bandar, termasuk Jalan Miri-Marudi, sambungan jalan ke Mulu dan pembinaan Lapangan Terbang Baharu Lawas.
“Kita mahu rakyat luar bandar turut merasai nikmat kemajuan seperti penduduk di kawasan bandar. Itu janji kita,” katanya.





