Politik Sabah vs Sarawak: Mengapa satu goyah, satu berdiri teguh?

Oleh: Musa Abadi

Ketika Pilihan Raya Negeri Sabah 2025 semakin hampir, rakyat negeri di bawah bayu ini kembali menyuarakan kekecewaan mereka terhadap budaya politik yang tidak pernah berubah.

Mereka muak dengan aksi “lompat parti” yang berulang-ulang saban waktu, dan lebih mengecewakan, individu yang sama sering kembali memimpin meskipun atas tiket parti yang berbeza.

Hal ini menjadikan persoalan besar: mengapa pembangunan Sabah masih terbantut, walaupun tokoh-tokohnya kelihatan sama dari satu penggal ke satu penggal?

Sebagai perbandingan, negeri jiran Sarawak menampilkan budaya politik yang jauh lebih stabil dan matang. Perbezaan ini bukan semata-mata soal dasar atau struktur kerajaan, tetapi berpunca daripada nilai dan prinsip yang dipegang oleh ahli-ahli politik di kedua-dua negeri.

Budaya lompat parti dan ketidakstabilan politik di Sabah

Politik Sabah terkenal dengan budaya lompat parti yang sangat tinggi. Dari krisis kerajaan PBS pada tahun 1994, peralihan kuasa selepas PRU14, hinggalah kepada pengambilalihan kuasa oleh GRS pada 2020 — semuanya berpunca daripada tindakan ahli-ahli politik yang menukar parti atas kepentingan kuasa.

Nama-nama seperti, Jeffrey Kitingan, James Ratib, Yusof Yacob, dan lain-lain telah melalui pelbagai platform politik, tetapi kekal sebagai pemain utama dan sebagai akibat yang diterima oleh negeri ini, kerajaan Sabah sering kali tidak stabil.

Setiap pertukaran kerajaan disusuli dengan perubahan dasar, pembatalan projek, atau penstrukturan semula yang mengganggu kesinambungan pembangunan.

Lebih menyedihkan, rakyat yang memberi mandat sendiri tidak melihat hasil, kerana ahli politik yang mereka tolak kembali berkuasa melalui pintu belakang.

Pembangunan terbantut dan dasar tidak konsisten

Kerapuhan kerajaan menyebabkan dasar-dasar pembangunan sukar dilaksanakan secara berterusan. Projek jangka panjang sering ditangguh atau dimansuhkan apabila berlaku pertukaran kuasa.

Ini menjejaskan keyakinan pelabur, kerjasama dengan kerajaan pusat, dan perancangan ekonomi negeri secara keseluruhan.

Lebih parah, apabila pemimpin politik lebih sibuk merancang langkah seterusnya untuk kekal berkuasa berbanding memperjuangkan isu seperti kemiskinan, akses infrastruktur, pendidikan, dan hak autonomi negeri.

Sarawak: Keteguhan politik berteraskan kesetiaan dan idealisme

Sebaliknya, tidak boleh disangkal lagi jika mengatakan bahawa Sarawak menjadi model kestabilan politik dalam negara. Budaya lompat parti hampir tidak wujud di negeri ini.

Ahli-ahli politik Sarawak menunjukkan kesetiaan yang tinggi kepada parti, dan lebih penting lagi, kepada perjuangan untuk rakyat dan negeri.

Sebagai contoh, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem kekal bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hingga akhir hayatnya, dan dikenang sebagai Ketua Menteri yang membawa pendekatan politik matang, sederhana, dan berprinsip. Begitu juga dengan mendiang Tan Sri James Jemut Masing (PRS), yang tidak pernah meninggalkan partinya sejak ditubuhkan.

Parti-parti tempatan seperti PBB, PRS, SUPP dan PDP kekal relevan kerana mereka membina naratif perjuangan berasaskan autonomi, pembangunan holistik dan pengukuhan identiti kenegerian Sarawak. Inilah antara faktor utama Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu berdiri teguh walaupun tanpa bergantung sepenuhnya kepada parti-parti nasional.

Akar perbezaan: prinsip vs kuasa

Jelas, perbezaan utama antara Sabah dan Sarawak bukan pada struktur pentadbiran, tetapi pada nilai yang dipegang oleh ahli politik mereka.

Di Sabah, politik dilihat sekadar menjadi alat untuk kekal relevan dan berkuasa, walau dengan mengorbankan prinsip.

Manakala di Sarawak, politik merupakan sebuah medium perjuangan yang berakar pada kesetiaan, idealisme dan keutuhan parti.

Masa depan Sabah perlukan pembersihan politik mutlak

Menjelang PRN 2025, rakyat Sabah kini harus lebih tegas dalam membuat pilihan. Pilihan raya bukan hanya soal lambang, tetapi soal prinsip.

Sudah tiba masanya rakyat Sabah menolak pemimpin yang hanya bertukar baju tetapi membawa agenda lama — agenda untuk kekal berkuasa, bukan membawa perubahan.

Jika Sarawak mampu membuktikan bahawa kestabilan politik membawa pembangunan yang lebih berkesan, maka Sabah juga boleh — dengan syarat, pemimpin yang ada perlu berubah, atau rakyat sendiri perlu ubah mereka.

Inilah waktunya rakyat Sabah menuntut lebih dari sekadar manifesto. Mereka harus menuntut integriti.

Related Posts

Nik Amar tidak boleh jadikan Pas ukuran cinta terhadap Islam

KENYATAAN pemimpin kanan Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa mereka yang tidak memahami atau tidak mencintai Islam tidak akan menyokong Pas bukan sekadar ungkapan mempertahankan parti. Kenyataan itu membawa…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PN digantung: Ujian pertama Samsuri bukan sekadar menukar wajah kepimpinan

PENEGASAN Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bahawa pendaftaran Perikatan Nasional (PN) tidak dibatalkan tidak sepatutnya digunakan untuk mengecilkan hakikat bahawa gabungan tersebut dilaporkan dikenakan perintah penggantungan semua kegiatan. Pembatalan pendaftaran…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

AMK mahu kemelut institusi diraja Negeri Sembilan diselesaikan ikut undang-undang

AMK mahu kemelut institusi diraja Negeri Sembilan diselesaikan ikut undang-undang

Kapasiti asrama SMK Majakir meningkat kepada 300 murid

  • By Ezmie
  • September 26, 2026
Kapasiti asrama SMK Majakir meningkat kepada 300 murid

Lapan laluan Bas.My dijajar semula, liputan capai 70 peratus kawasan utama DBKK

  • By Ezmie
  • September 26, 2026
Lapan laluan Bas.My dijajar semula, liputan capai 70 peratus kawasan utama DBKK

Living Lab berpotensi jadi model pembangunan komuniti Sabah, Sarawak

Living Lab berpotensi jadi model pembangunan komuniti Sabah, Sarawak

Belanjawan 2027: Dana pembangunan Sabah, Sarawak perlu ditingkatkan

  • By Ezmie
  • September 26, 2026
Belanjawan 2027: Dana pembangunan Sabah, Sarawak perlu ditingkatkan

Baki RM900 juta Pemberian Khas Sabah dijangka dibayar sebelum hujung tahun

  • By Ezmie
  • September 26, 2026
Baki RM900 juta Pemberian Khas Sabah dijangka dibayar sebelum hujung tahun