
KOTA KINABALU – Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) terus memperkukuhkan hubungan bersama pelanggan Sempena Ekspedisi Jelajah 70 Tahun menerusi Program Hari Bersama Pelanggan, Program Memperkasa Usahawan PKS dan Majlis Hari Raya Aidilfitri DCC Alamesra 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif PPS, Datuk George Taitim Tulas berkata, program tersebut diadakan bertujuan membawa PPS lebih dekat kepada masyarakat di seluruh negeri.
“Selain memperingati perjalanan tujuh dekad PPS sejak 1955.
“Sambutan ini juga menjadi platform untuk menetapkan halatuju masa depan yang lebih cemerlang, sejajar dengan perubahan landskap ekonomi dan teknologi,” katanya semasa berucap di Pusat Pelanggan Alamesra, di sini pada Isnin.

Menurut George, PPS bukan sekadar menyediakan pembiayaan, malah komited membimbing usahawan dalam aspek pengurusan kewangan, proses mendapatkan pinjaman serta memanfaatkan peluang perniagaan untuk meningkatkan daya saing.
“Melalui Program Memperkasa Usahawan PKS, kita beriltizam membantu melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang berjaya, sekali gus memperkukuh kekuatan ekonomi negeri,” tambah beliau.
Pada majlis tersebut, PPS membuka ruang kepada pelanggan untuk berinteraksi secara langsung, selain berkongsi pandangan, pertanyaan dan cadangan bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan.
“Maklum balas pelanggan amat penting untuk PPS terus berinovasi dan memastikan perkhidmatan kami relevan serta memenuhi keperluan semasa rakyat Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, program ini juga dapat mencerminkan keakraban PPS dengan pelanggan, rakan strategik dan komuniti, selain memperkukuh semangat perpaduan.
Tambahnya, PPS bertekad untuk terus menjadi pemangkin utama dalam pembangunan sosioekonomi negeri dengan memperkasa sektor keusahawanan, memperluas akses pembiayaan, serta mengadaptasi teknologi baharu dalam perkhidmatan mereka.
“Kami akan memastikan setiap inisiatif adalah inklusif, adil dan berpaksikan kesejahteraan rakyat demi manfaat generasi akan datang,” ujarnya


