PUTRAJAYA – Keputusan muktamad pemilihan peringkat cabang PKR akan dimuktamad selewat-lewatnya 5 Mei ini selepas penelitian semua bantahan diterima.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) 2025, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, proses penelitian akan dilaksana dengan cermat, adil dan berhemah demi menjaga integriti pemilihan parti yang akan diteruskan untuk pengundian peringkat nasional bulan depan.
“Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengambil maklum akan pembentangan laporan terkini oleh JPP 2025 mengenai kaedah penelitian keseluruhan proses pemilihan yang akan diambil ke atas bantahan diterima berhubung keputusan pemilihan peringkat cabang baru-baru ini.
“JPP akan memaklumkan lebih awal pemenang jawatan di peringkat cabang serta senarai perwakilan ke Kongres Nasional bagi cabang yang menang tanpa bertanding atau tidak mempunyai pertikaian munasabah mengikut penilaian JPP pada 1 Mei 2025,” menurutnya dalam kenyataan.
Beliau berkata, senarai itu akan diserahkan secara rasmi kepada pejabat Setiausaha Agung bagi tujuan penyelarasan dan persiapan Kongres Nasional, Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Kongres Wanita yang dijadualkan 23 hingga 25 Mei depan.
“Bagi cabang-cabang yang telah mengemukakan bantahan, proses penelitian masih berjalan dan setiap bantahan diterima melalui saluran rasmi JPP akan diteliti serta dipertimbang secara adil sebelum dimuktamad.
“JPP menyeru agar seluruh anggota parti untuk terus bertenang, memberikan kepercayaan kepada proses yang sedang dijalankan serta bersama-sama memastikan keharmonian dan perpaduan parti terus terpelihara,” katanya.
Dr Zaliha juga berkata proses pengundian semula bagi empat cabang iaitu Jempol, Selayang, Silam serta Semporna akan diadakan pada 1 Mei ini dan notis pemakluman akan dikemukakan segera kepada cabang berkenaan.







