
PUTRAJAYA – Kerajaan memperluas pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) dengan membolehkan kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di seluruh negara menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter mulai esok.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata, pelaksanaan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia serta 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut kementerian itu, pelaksanaan berkenaan merupakan peluasan ketara berbanding BUDI Diesel Individu sebelum ini yang hanya melibatkan kira-kira 180,000 penerima bantuan tunai bulanan di Semenanjung Malaysia bagi menampung sebahagian kos pembelian diesel pada harga pasaran.
“Selain itu, kira-kira 70,000 kenderaan komersial dan pengangkutan barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kini layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
“Kerajaan MADANI juga akan memperluas liputan kepada kenderaan persendirian jenis pikap dan jip yang berdaftar atas nama syarikat, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu hari ini.
MoF berkata, pelaksanaan subsidi bahan api berkenaan bertujuan memastikan rakyat yang layak tidak perlu membayar harga pasaran penuh, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, melindungi sektor penting yang bergantung kepada bahan api dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Akses awal BUDI Diesel bagi pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia dilaporkan berjalan lancar sejak dibuka pada 27 Jun lalu, dengan kira-kira 80,000 transaksi direkodkan setakat jam 12 tengah hari tadi.
“Ia melibatkan pembelian sekitar 3.2 juta liter diesel bersubsidi bernilai hampir RM7 juta pada harga RM2.15 seliter. Sistem pengesahan MyKad di stesen minyak beroperasi dengan baik tanpa sebarang masalah serius dilaporkan oleh penerima subsidi mahupun syarikat minyak,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak boleh memohon tambahan kuota 100 liter sebulan menerusi portal rasmi BUDI MADANI, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Menurut MoF, lebih 22,000 permohonan bagi tambahan kuota itu diterima setakat jam 9 pagi tadi.
Sementara itu, kerajaan turut melaksanakan pengecualian fi pertukaran hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan bermula esok, membabitkan fi yang ketika ini boleh mencecah sehingga RM100 bagi pengguna sebenar yang menggunakan kenderaan berdaftar atas nama ahli keluarga terdekat.
Bagi memudahkan urusan berkenaan, kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dibuka pada hujung minggu bermula 4 hingga 26 Julai ini dari jam 8 pagi hingga 5 petang di semua pejabat JPJ negeri dan pejabat JPJ UTC negeri.
Selain itu, MoF menyediakan mekanisme pemindahan kelayakan BUDI Diesel bagi kenderaan yang digunakan oleh ahli keluarga terdekat yang berbeza daripada pemilik berdaftar.
Menerusi mekanisme itu, penerima asal BUDI Diesel boleh memindahkan fungsi pembelian diesel bersubsidi kepada seorang ahli keluarga terdekat iaitu pasangan, ibu atau bapa, anak atau adik-beradik, tertakluk kepada syarat serta pengesahan yang ditetapkan.
“Setakat jam 9 pagi, 30 Jun 2026, hampir 1,000 permohonan pemindahan kelayakan BUDI Diesel telah diterima melalui MoF. Pemindahan ini hanya dibenarkan sekali dan kepada seorang penerima sahaja. Selepas diluluskan, penerima boleh menggunakan MyKad sendiri untuk membeli diesel bersubsidi berdasarkan kelayakan BUDI Diesel pemilik asal,” menurut kenyataan itu.
MoF berkata, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel bagi memastikan subsidi disalurkan kepada pengguna yang layak, mengurangkan ketirisan serta melindungi bekalan negara.
Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan, had kelayakan bulanan serta maklumat lanjut menerusi portal rasmi BUDI MADANI.






